Kenapa nak beriman dengan United Nation Declaration – Tn Hj AminudinYahya
Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 9 April 2021 – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Tn Hj Aminudin Yahya mempersoalkan perjuangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang berlandaskan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebuah deklarasi yang jelas bertentangan dengan norma budaya dan agama rakyat Malaysia.
“Kenapa kita nak beriman dengan United Nation Declaration sedangkan kita ada Cairo Declaration, kita ada Asean Declaration yang jelas mengiktiraf akan budaya kita, akan agama kita. Dan apa-apa human rights, hak asasi ini mesti tidak bertentangan dengan agama dan budaya yang ada di sini. Kita tak sama dengan orang Barat. Kita selalu sebut macam mana kita nak apply yang dikatakan universal value ini, value sejagat ini dalam konteks negara kita?”
Membangkang cadangan Pesuruhjaya SUHAKAM, Dato’ Dr Madeline Berma yang mencadangkan agar pekerjaan seks dinyahkriminalisasi, Tn Hj Aminudin menegaskan bahawa aktiviti pelacuran tidak ada langsung perkaitannya dengan mana-mana aspek dalam negara Malaysia, sebuah negara Islam.
“Dan perkara sex workers ini ataupun pelacuran ini memang tidak kena-mengena langsung dari segi agama, dari segi sosial, dari segi pelbagai aspek dalam konteks negara kita sebagai negara Islam.”
Menggunakan contoh cara makan kaum di Malaysia, Tn Hj Aminudin berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu cuba memaksakan pemikiran dan budaya Barat kepada masyarakat Malaysia walaupun tidak sesuai.
“Orang putih makan dengan sudu. Orang Cina makan dengan copstik. Orang Melayu makan dengan tangan. Macam mana kita nak impose? Itu contoh simple, selalu saya bagi.”
“Jadi sekarang ini, United Nation seolah-olah nak impose pemikiran mereka, budaya mereka kepada kita walaupun tidak sesuai.”
Justeru, Pengerusi PEMBELA ini mahu SUHAKAM menjelaskan pegangan badan berkanun yang diperbadankan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) itu, sama ada menjadi lidah kepada tuntutan Barat ataupun memperjuangkan kedaulatan negara.
“Dan tentang SUHAKAM ini bagi kami, suara bagi NGO umat Islam, kita sebenarnya mempersoalkan kewujudan SUHAKAM ini sebenarnya untuk apa. Adakah SUHAKAM ini hanya nak menjadi lidah kepada tuntutan Barat, ataupun dia (SUHAKAM) sebenarnya memperjuangkan kedaulatan negara yang kita tahu, negara kita ini sebuah negara Islam majoritinya umat Islam.”