Kemenangan Ekstrem Kanan, Benjamin Netanyahu Diangkat Perdana Menteri
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
TEL AVIV, 04 November 2022 – Gabungan yang diketuai oleh mantan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah memenangi majoriti kerusi di parlimen Israel yang turut dikenali sebagai Knesset.
Kemenangan ini telah membolehkan tokoh Israel yang penuh kontroversi itu kembali berkuasa seperti sebelum ini.
Keputusan akhir pilihan raya yang telah diumumkan pada Khamis lalu menunjukkan bahawa Netanyahu bersama sekutunya dari kelompok ultra-nasionalis memenangi 64 buah kerusi daripada keseluruhan 120 kerusi parlimen.
Dari 64 buah kerusi yang dimenangi oleh gabungan tersebut, parti yang diwakili oleh Netanyahu, Likud telah memenangi 32 buah kerusi parlimen.
Pada Rabu lalu, Netanyahu telah menyatakan kepada penyokongnya bahawa mereka “sedang berada di ambang kemenangan” serta turut menjanjikan bahawa beliau akan menubuhkan sebuah kerajaan nasional yang stabil.
Lawan Netanyahu, Yair Lapid yang sedang memegang jawatan perdana menteri telah memenangi 51 kerusi menerusi partinya. Baki beberapa kerusi lain telah dimenangi oleh parti Arab yang tidak mempunyai hubungan dengan kedua-dua parti utama di Israel.
Kemenangan tersebut akan menjadikan kembali Netanyahu berkuasa bagi membentuk kerajaan, walaupun beliau kini sedang berada dalam perbicaraan atas kes rasuah.