KEMAS-Yayasan Pahang Bakal Lahirkan 100,000 Huffaz Menjelang 2026
PUTRAJAYA, 01 Jun 2023 – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan kerjasama Yayasan Pahang menyasarkan 100,000 huffaz di kalangan murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) menjelang tahun 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa inisiatif baharu ini akan dilaksanakan bermula Julai depan dan dikenali sebagai Program Tabika Pra-Tahfiz Kemas.
Kerjasama Yayasan Pahang dalam program ini menyumbang dari aspek tadbir urus termasuk pengisian modul, perkongsian teknik hafazan terbaik serta pemantauan dan latihan.
Jelas Ahmad Zahid, program ini akan menekankan dua aspek iaitu pembelajaran ibadah dan pengajian al-Quran bersifat kontemporari.
BACA JUGA: Krisis Makanan Eropah: Malaysia Juga Perlu Waspada
BACA JUGA: Isu Kapal LCS: Kerajaan Madani Digesa Siasat Penyelewengan
BACA JUGA: Rakyat Belum Berpuas Hati Cara Kerajaan Perpaduan Urus Inflasi Dan Ekonomi
Menurut beliau, program ini cukup efektif kerana murid akan menguasai hafazan surah lazim Juz ‘Amma dan surah pilihan dengan Qiraat, Adab serta Tadabbur.
Pihak mereka juga menyasarkan lebih 1,500 murid mampu menghafaz sehingga surah Ad-Dhuha sebelum ke tahun satu menjelang akhir sesi persekolahan tahun ini. Bilangan itu akan meningkat meliputi 4,000 kelas pada 2024, 3,000 kelas pada 2025 dan kesemua Tabika Kemas menjelang 2026.
Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, beliau berkata bahawa ia menggabungkan elemen 7M iaitu mengaji, menghafaz, membaca, menulis, mengira, menaakul dan manusiawi.
Tambahnya, ia merupakan nilai tambah bagi menanam minat anak-anak menghafal dan mencintai al-Quran dalam usia muda sebagai persiapan sebelum masuk tahun satu sekolah.