Keganasan Rumah Tangga: 2,794 Kes Direkod Dari 2021-2023
KUALA LUMPUR, 08 Julai 2024 – Sejumlah 2,794 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada pihak berkuasa direkodkan dari tahun 2021 hingga 2023 di seluruh negara.
Perkara tersebut didedahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri pada Sidang Dewan Rakyat, minggu lalu bagi menjawab kepada soalan V. Ganabatirau (PH-Klang) berhubung statistik kes-kes keganasan rumah tangga yang direkodkan di Klang dari tahun 2021 hingga 2023.
Menurut beliau, mangsa adalah membabitkan golongan lelaki dan wanita dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 773 kes dilaporkan di Selangor dengan 81 kes dilaporkan di daerah Klang.
Jelasnya, tindakan terhadap kes keganasan rumah tangga yang berlaku di Klang melibatkan satu kes diberi perintah perlindungan kecemasan, tujuh kes diberi perintah perlindungan sementara dan lima kes diberi perintah perlindungan.
Manakala, sebanyak lapan kes diberi kaunseling di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 41 kes diberi khidmat nasihat di pejabat JKM.
“Rujuk ke agensi lain sebanyak empat kes dan pindah tinggal berasingan di pusat perlindungan sebanyak tiga kes.”
“Pindah tinggal berasingan kembali ke rumah ibu bapa (empat kes), permohonan ditarik balik (satu kes) dan dalam proses siasatan sebanyak tujuh kes,” tambahnya.