Kartel Ikan : Nelayan Tempatan Jadi Tali Barut
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 05 Julai 2022 – “Kira-kira dalam 35,000 nelayan asing yang bekerja sebagai tekong atau awak-awak bot besar tempatan dipercayai menjadi ‘keldai ikan’ melakukan kegiatan itu.”
“Ini termasuk dalam kalangan nelayan tempatan turut bersekongkol sebagai tali barut asing sanggup makan ‘dedak’ menjarah hasil ikan negara sendiri,” kata sumber kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, kartel-kartel menjalankan aktiviti jual beli haram itu di tengah laut.
Jelasnya, mereka sudah siap-siap bungkus ikan untuk dijual kepada pasaran antarabangsa tanpa perlu mendaratkan ikan itu.
“Bila sampai jeti mereka hanya isytiharkan hasil tangkapan 50 peratus sahaja, kerana 50 peratus lagi sudah dijual kepada asing. Sebab itulah kita tak cukup ikan dan buat alasan bekalan kurang kononnya atas faktor cuaca dan sebagainya.”
Tambahnya lagi, amat mengecewakan apabila bot-bot besar ini menggunakan minyak bersubsidi yang ditanggung Kerajaan tetapi mencuri pula hasil negara.
“Lebih parah, mungkin juga ada antara nelayan tempatan sendiri menjual minyak diesel bersubsidi untuk mendapatkan wang tunai.”
Di samping itu, dia berkata kemasukan warga asing untuk bekerja sebagai tekong dan awak-awak bot laut dalam tempatan boleh menjadi faktor pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara.
“Jadi kita minta LKIM atau Jabatan Perikanan perincikan data 35,000 nelayan asing ini? Jumlah ini sangat banyak, hampir separuh daripada nelayan tempatan. Jumlah ini disebut oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) sendiri.”
“Perkara ini sangat serius dan perlu dibanteras pihak berwajib. Bukan sahaja tindakan penguatkuasaan, tetapi perlu ada mekanisme bagi menghalang pengkhianat yang bersekongkol dengan mereka,” katanya.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal turut mengesahkan perkara ini.
Katanya, pihaknya sudah mengesan kegiatan tersebut sejak dahulu dan aktiviti yang sama masih berleluasa sehingga hari ini.
“Ada aktiviti yang dikesan, berlaku penjualan (hasil tangkapan) di tengah-tengah laut, namun kita tiada maklumat sebanyak mana jumlah tangkapan yang terlibat.”
Jelasnya, Kerajaan terpaksa mewujudkan insentif pendaratan ikan, iaitu sebanyak 10 sen sekilogram, bagi menggalakkan nelayan mendaratkan ikan ke pelantar-pelantar milik LKIM.
“Kaedahnya, kita mahu menggalakkan supaya ikan itu didaratkan di pelantar LKIM.”
“Dengan cara itu, kita dapat kawal dan kita dapat tahu berapa jumlah pendaratan ikan pada satu-satu masa yang masuk ke dalam pasaran negara,” katanya.