Kalau Kami Nak Buat Apa-apa Yang Tidak Baik Pada Ustaz, Boleh Saja
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
SABAH, 26 Oktober 2021 – “Engkau jauh-jauh datang, kalau kata kami nak bunuh kau boleh sahaja kami buat,” demikian kata penduduk sebuah kampung di pedalaman Sabah ketika permulaan dakwah Almarhum Ustaz Fadli Yusof di sana.
Cerita ini disampaikan oleh Ustaz Safwatullah, anak kedua almarhum kepada wartawan Samudera.my.
Tambah beliau, kedatangan almarhum Ustaz Fadli bersama isteri ke kampung tersebut pada awalnya kerana dijemput oleh sebuah keluarga yang sudah empat tahun memeluk Islam dan memerlukan bimbingan agama.
Apabila tiba di sana, almarhum bersama isteri, Ustazah Siti Aisyah turut melawat penduduk lain di kampung berdekatan.
“Bermula dari bulan Julai hingga Oktober di sana, sehingga orang kampung di sekeliling yang belum Islam bertanya, apa tujuan datang ke sini. Orang kata bila-bila masa mereka boleh buat apa-apa pada ayah dan umi,” ujar Ustaz Safwatullah yang juga penyambung legasi dakwah almarhum ayahnya.
“Almarhum Ustaz Fadli jawab, saya mencari saudara Islam. Sesiapa sahaja Islam wajib kami kenal, wajib kami cari , wajib kami bimbing ibadah mereka hingga benar-benar melaksanakan Islam dalam hidup mereka.”
Ujar Ustaz Safwatullah lagi, kaedah dakwah yang digunakan oleh almarhum Ustaz Fadli bukanlah dalam bentuk ceramah, namun dalam bentuk bahasa akhlak.
“Dakwah yang digunakan Allahyarham Ustaz Fadli yang berdakwah secara terus, berdepan dengan Kristian, berdepan dengan orang-orang menentang Islam, ahli-ahli sihir. Bukan dengan berhujah tetapi dengan bahasa akhlak. Maknanya jumpa, berkawan, ajak minum kopi, bawa makanan. Jadi di situlah menarik minat mereka yang belum memeluk Islam.”
Almarhum Ustaz Fadli,
pendakwah yang amat gigih mengabadikan dirinya dalam medan dakwah dan telah mengislamkan ribuan rakyat Malaysia menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 8.30 pagi, Khamis, 5 Ogos 2021.
Kini, legasi dakwah almarhum disambung oleh anak-anaknya seperti Ustaz Safwatullah di bawah program Misi Syahadah.
Mereka yang berminat untuk membantu perjuangan dakwah dan menambah saham akhirat boleh klik pautan ini untuk maklumat lanjut.