Kaji Semula Cuti Sakit: Kita Manusia, Bukan Mesin – J Solomon
KUALA LUMPUR, 07 Mac 2023 – Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) kesal dengan kenyataan dari Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman dalam isu cuti sakit.
Menurut laporan, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman meminta kemudahan cuti sakit dikaji semula kerana ia membebankan majikan daripada segi kos.
“Kenyataan itu menunjukkan majikan tidak berperikemanusiaan, dan mereka tidak menghormati nyawa pekerja,” kata J Solomon, Presiden SPCAAM.
BACA JUGA: Banjir Jejaskan Hasil Padi
BACA JUGA: JAKIM Tak Campur Urusan Tauliah Ceramah Agama
BACA JUGA: Pemusnahan Hawara Permulaan Penaklukan Semula ‘Tanah Kita’ – Bekas Perisik Israel
Tegas beliau, pekerja adalah manusia dan mereka akan jatuh sakit, dan mereka akan menjadi tua.
Oleh itu menjadi kewajipan majikan dan Kerajaan untuk memberi mereka gaji yang berpatutan dan faedah cuti sakit serta perlindungan sosial yang sewajarnya apabila pekerja menjadi tua dan tidak boleh bekerja lagi.
“Majikan hanya tertumpu untuk membuat keuntungan untuk diri mereka sendiri dan pemegang saham mereka. Mereka lupa bahawa mereka bercakap tentang sesama warganegara Malaysia dan sesama manusia.”
“Mengapa majikan perlu bercakap tentang kos cuti sakit pekerja, tetapi pada masa yang sama mereka tidak mahu bercakap tentang keuntungan yang mereka peroleh hasil daripada kerja keras pekerja yang sama,” kata J Solomon lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, Malaysia adalah ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Deklarasi ILO Philadelphia yang diterima pakai pada tahun 1944 menyatakan, “buruh bukan komoditi”.
Deklarasi menekankan keperluan perlindungan pekerja daripada sakit, kecederaan, dan kematian yang timbul daripada pekerjaan adalah objektif ILO dan begitu juga negara anggotanya.
Protokol dan konvensyen antarabangsa menyeru untuk menghormati hak pekerja yang sakit. Selain itu, ia menyeru majikan untuk menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat bagi mengelakkan pekerja cedera dan sakit.
“Sakit adalah fitrah kerana kita adalah manusia dan bukannya mesin.”
Kerana itu, SPCAAM mengecam cadangan MEF berhubung kemudahan cuti sakit yang disediakan di bawah undang-undang buruh Malaysia.
“Daripada meminta kemudahan itu dikaji semula, majikan perlu mengambil langkah untuk menyediakan persekitaran kerja yang kondusif dari segi kemudahan kewangan dan bukan kewangan, yang pada jangka panjang akan menguntungkan majikan,” tegas J Solomon.