Jumlah Sungai Tercemar Menurun Hampir Setiap Tahun
KUALA LUMPUR, 07 Julai 2024 – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan jumlah sungai tercemar menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun.
Menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, NRES berkata sebanyak 25 (3.72%) batang sungai daripada 672 sungai yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar telah menunjukkan Indeks Kualiti Air (IKA) dalam kategori tercemar pada tahun 2023 berbanding 29 (4.32%) sungai tercemar pada tahun 2022.
“Ini menunjukkan indikator yang positif kerana bilangan sungai yang berada di dalam kategori tercemar telah menurun dari 29 batang sungai kepada 25 batang sungai pada tahun 2023.”
Dalam pada itu, NRES juga memaklumkan telah bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam mewujudkan Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JK-KAS) yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II.
“Jawatankuasa ini bertujuan untuk memantau isu dan langkah-langkah menangani pencemaran sungai yang merentasi bidang kuasa pelbagai Jabatan/Kementerian dan Kerajaan Negeri.”
“Mesyuarat pertama telah diadakan pada 6 Jun 2024 di Putrajaya dengan kehadiran daripada pelbagai agensi Kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri.”
Tambahnya lagi, NRES melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha untuk menangani isu pencemaran sungai di seluruh negara terutama yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] termasuk di peringkat penguatkuasaan, perancangan, kajian dan program pengawasan.
“Selain itu, JAS juga melaksanakan kerja-kerja pengawasan kualiti air secara berterusan melalui Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (Environmental Quality Monitoring Program – EQMP).”
“Sebanyak 30 stesen pengawasan automatik dan 1,353 stesen pengawasan manual bagi pemantauan kualiti air sungai di seluruh negara.”
Tegasnya, kementerian juga akan meningkatkan penggunaan data dan maklumat pengawasan kualiti air sungai dalam merancang dan menyusun strategi penguatkuasaan bagi memastikan isu pencemaran sungai-sungai ini dapat ditangani dengan berkesan dan keseimbangan sistem ekologi dapat dikekalkan.