JKNK Kenal Pasti 91 Kemudahan Kesihatan Diancam Banjir
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KOTA BHARU, 18 Oktober 2022 – Sejumlah 91 fasiliti serta klinik kesihatan yang berisiko ditenggelami banjir dikenal pasti oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan susulan musim tengkujuh tahun ini, menurut sebuah portal tempatan.
Menurut Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin, jumlah itu melibatkan Pasir Mas (21), Gua Musang (19), Kuala Krai (12), Tanah Merah (8), Machang (7), Tumpat (7), Kota Bharu (6), Jeli (5), Bachok (4) dan Pasir Puteh (2).
“Antara faktor yang menyebabkan fasiliti terbabit terjejas akibat banjir adalah kawasan klinik dinaiki air atau tenggelam, tidak beroperasi disebabkan isu keselamatan dan akses jalan raya ke klinik terbabit terputus hubungan,” jelas beliau.
Susulan daripada maklumat banjir tersebut, beberapa kawasan pendaratan helikopter turut dikenal pasti sekiranya terdapat hospital di negeri itu terputus hubungan jalan raya disebabkan banjir.
“Golongan berisiko tinggi seperti kes antenatal dan pesakit kronik yang memerlukan rawatan kritikal secara berkala seperti dialisis akan dipindahkan lebih awal bagi mengelak terputus rawatan sama ada menggunakan helikopter atau ambulans,” tambahnya.
Bukan itu sahaja, pasukan perubatan turut akan ditugaskan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mengikut jadual.
Dalam pada itu, kata beliau, sekiranya mangsa banjir melebihi 1,000 orang, klinik bergerak 24 jam akan ditempatkan di PPS namun, ia bergantung kepada situasi di PPS tersebut.