Jerman “Tercekik”, Rusia Henti Bekalan Gas
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
MOSCOW, 01 September 2022 – Rusia telah menghentikan pengaliran gas melalui saluran paip Nord Stream 1 ke Eropah selama tiga hari, menambahkan lagi tekanan ekonomi antara negara itu dengan Brussels, Belgium.
Portal antarabangsa melaporkan penghentian itu disebabkan oleh syarikat servis turbin Siemens, gagal menjawab permintaan Rusia untuk membaiki turbin Nord Stream 1.
Penghentian itu juga meningkatkan prospek kemelesetan dan catuan tenaga di beberapa negara terkaya di rantau ini.
Menurut laporan portal antarabangsa, tindakan Rusia ini dikhuatiri sebagai satu tindak balas dari Rusia berikutan sekatan yang dikenakan Barat berikutan perang yang dilancarkan ke atas Ukraine.
Malah, kerajaan Eropah juga menuduh Rusia menggunakan bekalan tenaga sebagai “senjata perang” dengan menghentikan pengaliran gas dari saluran Nord Stream 1 yang bersambung terus dari Rusia ke Jerman.
Mengulas mengenai perkara ini, Presiden Pengawal Selia Rangkaian Jerman, Klaus Mueller berkata, Jerman akan dapat mengatasi gangguan selama tiga hari selagi aliran disambung semula pada hari Sabtu.
Pengurangan aliran melalui Nord Stream telah merumitkan usaha di seluruh Eropah untuk menjimatkan gas yang mencukupi untuk mendepani musim sejuk. Kerajaan Eropah juga bimbang Rusia mungkin akan menghentikan terus pengaliran gas buat selama-lamanya.
Walau bagaimanapun, Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, Rusia tetap komited terhadap kewajipannya untuk membekalkan gas, tetapi tidak dapat memenuhinya kerana sekatan yang dikenakan Barat.