Jakarta Wilayah Paling Cepat Tenggelam Dek Perubahan Iklim Dunia
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JAKARTA, 02 Oktober 2022 – Bandaraya Metropolitan Jakarta yang padat dengan penduduk dijangka menjadi satu daripada wilayah paling cepat tenggelam dalam tempoh akan datang di Indonesia akibat perubahan iklim dunia seperti kenaikan paras air laut, gelombang haba serta banjir.
Fakta menunjukkan, kira-kira 9,000 hektar tanah di Jakarta sudah berada di bawah permukaan laut.
“Pada 2021, sebanyak 14 peratus wilayah Jakarta sudah berada di bawah laut dan jumlah itu boleh meningkat kepada 28 peratus menjelang 2050.”
“Fenomena ini berlaku disebabkan dua faktor iaitu peningkatan paras air laut akibat pemanasan global dan turunnya permukaan tanah akibat eksploitasi air secara berlebihan,” kata pakar geodesi dari Institut Teknologi Bandung (ITB), Heri Andreas.
Sementara itu, Setiausaha Daerah Khusus Indonesia (DKI) Jakarta, Marullah Matali meminta pihak pemerintah di Jakarta Tengah bersiap sedia dengan jangkaan perubahan iklim tersebut.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Agensi Alam Sekitar DKI Jakarta, Asep Kuswanto berkata, kesan perubahan iklim mula dirasakan seperti tanah runtuh dan banjir di kawasan pantai Jakarta.
Jelasnya, langkah mitigasi bencana perlu dirancang segera bagi berhadapan segala kemungkinan yang akan berlaku.
“Kita lihat ia sudah berlaku sekarang. Paras air bawah tanah semakin rendah dan cuaca juga tidak menentu.”
“Kami akan melakukan usaha mitigasi dan adaptasi, bagaimana kami di DKI terus mengeluarkan dasar supaya semua lapisan masyarakat dapat menyesuaikan diri dan mengurangkan risiko perubahan iklim,” katanya.