Tempatan

Isu Moral Hakim : PPMM Minta Selesaikan Di Meja Rundingan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

18 JANUARI 2022

SELESAIKAN PERSELISIHAN DI MEJA RUNDINGAN

1. Mutakhir ini, institusi agama di negara kita sering diserang dengan pelbagai fitnah dan mehnah. Situasi menjadi semakin parah apabila institusi kehakiman syariah juga telah meraih banyak perhatian wartawan dan netizen. Ia mungkin akibat daripada sikap terkhilaf mahu berkongsi segala maklumat dalaman dengan masyarakat oleh sesetengah penjawatnya.

2. Apabila sesuatu agensi menjadikan media sosial dan media utama sebagai alat untuk meluahkan permasalahan dalaman mereka, integriti agensi tersebut akan mula dipertikaikan. Masyarakat menilai dengan pelbagai anggapan. Anggapan yang buruk biasanya akan mengatasi anggapan yang baik.

3. PPMM melahirkan rasa dukacita dengan penularan isu status moral seorang hakim kanan syariah baru-baru ini. Kes tersebut telahpun berada di dalam siasatan Polis Diraja Malaysia ketika ini. PPMM akur serta menanti hasil siasatan tersebut dan tidak mahu mengambil pendirian ataupun mendahului siasatan polis.

4. PPMM tidak berhasrat untuk mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan isu tersebut kerana khuatir akan menjadi subjudis kepada siasatan yang sedang dilakukan tersebut. Kenyataan hari ini tidak menyentuh tentang merit isu yang diketengahkan di atas.

5. Dalam isu yang berkaitan pada 14/1/2022, Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) telah dilaporkan mengeluarkan kenyataan akhbarnya. Kenyataan itu pada awalnya meminta masyarakat bertenang, sabar menunggu siasatan dan tindakan pihak berkuasa menangani isu tersebut adalah sesuatu yang dipuji. Ini adalah agar masyarakat tidak membuat pelbagai anggapan yang boleh memburukkan lagi nama baik institusi kehakiman syariah di Malaysia.

6. Namun kenyataan itu disusuli dengan pendirian PPSM sendiri yang hilang kepercayaan terhadap hakim kanan tersebut berkaitan kepimpinan dan penyalahgunaan kuasa serta cadangan agar Jabatan Perdana Menteri atau Jabatan Perkhidmatan Awam merehatkan sementara khidmat hakim kanan tersebut.

7. Kenyataan tersebut walau bagaimanapun telah dinafikan oleh Timbalan Presiden PPSM yang menyatakan bahawa kenyataan Presiden PPSM itu tidak dikeluarkan secara kolektif. Malah beliau dan ahli-ahli PPSM yang lain berdiri teguh di belakang hakim kanan tersebut. Amat mengejutkan kemudiannya, Timbalan Presiden PPSM tersebut dilaporkan memohon maaf dan mendakwa terpaksa berbuat demikian kerana diarahkan oleh pihak atasan tertentu.

8. Polemik berbalas kenyataan di media ini telah menyerlahkan perpecahan di kalangan kepimpinan tertinggi syariah di Malaysia. Ia memburukkan lagi persepsi masyarakat terhadap institusi ini sementelahan dengan isu hakim kanannya yang masih belum diselesaikan. Malah Peguam masing-masing juga berbalas kenyataan.

9. PPMM memandang serius permasalahan ini dan demi mengembalikan nama baik institusi ini, adalah wajar permasalahan ini diselesaikan secara baik mengikut ajaran Islam. Sedangkan lidah lagikan tergigit, apatah lagi sesama rakan sekerja. Penyelesaian ini haruslah dilakukan seumpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerakan.

10. Mengambil roh penyelesaian pertikaian secara baik atau perdamaian yang sentiasa diamalkan di dalam kehakiman Islam iaitu sulh, PPMM mencadangkan agar Menteri Agama memandang serius untuk menyelesaikan polemik perpecahan dalaman ini. PPMM percaya perpecahan ini telah lama membarah tetapi tidak diendahkan oleh pihak berwajib. Hakam yang berwibawa di kalangan mediator bertauliah bukan terdiri daripada kalangan pengamal undang-undang dan kehakiman wajar dilantik untuk memudahkan perjalanan perbincangan kesemua pihak.

11. Menteri Agama sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, perlu menyelesaikan polemik ini sesegera mungkin supaya jabatan ini tidak mengalami defisit kepercayaan dari orang awam sebagaimana dialami beberapa institusi lain.

12. PPMM menyeru semua pihak supaya tidak menggunakan media bagi menegakkan pendirian masing-masing, kembali ke meja rundingan untuk berbincang demi memelihara integriti, kewibawaan dan maruah mahkamah syariah.

13. Akhirnya PPMM ingin memetic ayat Al Quran dari Surah An-Nisa’ ayat ke 59 yang bermaksud ‘ … Kemudian jika kamu berselisih tentang suatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (Sunnah-Nya), jika kamu benar- benar beriman kepada Allah dan Hari Kiamat. Yang semikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik kesudahannya.’

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar

Presiden

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia


Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: