ISU KALIMAH ALLAH: JANGAN DEGIL LANGGAR TITAH SULTAN
Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini
Isu orang bukan Islam daripada penganut agama Kristian yang menuntut penggunaan perkataan “Allah” dalam ajaran agama mereka, menjadi isu besar kerana ia melibatkan dan membabitkan bab ketauhidan dalam agama Islam. Khususnya dalam bab memahami Nama Allah itu yang bagi Islam mesti dijauhi daripada unsur-unsur kesyirikan.
2. Antara perkara yang dipersoalkan dalam isu ini adalah konsep Nama Allah dalam kepercayaan agama Kristian itu, kerana ia jelas bercanggah dengan konsep yang difahami oleh umat Islam. Ia bukan soal mengucap, melafaz atau menyebut perkataan Allah. Tetapi asas kebimbangan itu ialah bagaimana kaum kafirun itu memahami pengertian hakikat pada kalimah Allah?
3. Dalam Islam, konsep nama Allah disebutkan oleh Tuhan sendiri, bukan buatan manusia sebagaimana firman Allah dalam Surah Taha ayat 14: “Sesungguhnya aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, Maka sembahlah aku dan dirikanlah solat untuk mengingat aku”. Pengertiannya pula Allah itu adalah Nama bagi Dzat Yang Maha Suci Lagi Mulia daripada segalanya merangkumi 99 Nama lagi bagi Dzat (Nama Tuhan), dengan menisbahkan bahawa pemilik bagi nama “Allah” bersifat Tunggal, Esa, Satu, tidak beranak dan tidak diperanakkan, tidak bersekutu dengan yang lain dan tidak juga disekutukan dengan yang lain dan tidak serupa dengan makhluk.
4. Surah Al-Ikhlas menjadi dalil dan sandaran bagi sesiapa sahaja dalam memahami Diri-Nya. Tetapi lain pula pemahaman tuhan itu dalam ajaran Kristian, mereka berkeyakinan dan mempercayai konsep Trinity (3 dalam 1). Maksud 3 dalam 1 ialah mereka mempercayai bahawa Tuhan mempunyai anak dalam rupa seorang manusia, namanya Jesus.
5. Ajaran agama Kristian berkeyakinan bahawa Jesus ini adalah Anak kepada Tuhan, dilahirkan oleh seorang perempuan yang menjadi ibunya, manakala tuhan yang wujud sebelum Jesus yang juga menjadikan Adam adalah bapanya. Dalam erti kata Jesus berupa tuhan mempunyai ibu daripada jenis manusia dan bapa dari jenis tuhan, kacukan manusia dan tuhan, kepercayaan yang kelihatannya sama seperti kepercayaan agama purba Yunani.
6. Isu ini jelas mengganggu-gugat kestabilan negara sepertimana dapat dilihat apabila berlaku saman-menyaman oleh pihak Kristian terhadap seorang netizen wanita Muslim yang kononnya mengugut mahu membakar seluruh gereja di dalam negara, sedangkan keputusan oleh mahkamah dibuat atas alasan tidak akan ada provokasi mengancam keamanan negara tetapi kini keadaan sebaliknya apabila keadaan sekarang sudah ada bibit-bibit ke arah perselisihan agama jika tidak ditangani segera dan diperbetulkan kembali.
7. Keadaan bagai tidak terkawal lagi apabila di media sosial ribuan netizen antara Islam dan Kristian saling bertelagah telah mendorong campur tangan pihak istana sehingga dua surat dari Istana Johor bertarikh 18 Mac 2021 dan Istana Selangor bertarikh 23 Mac 2021 telah dikeluarkan bertujuan mahu mententeramkan keadaan dengan titah perintah Tuanku Sultan yang juga adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing bahawa kalimah Allah muktamad dilarang digunakan oleh agama selain agama Islam.
8. Menghampakan dan mendukacitakan apabila pihak Kementerian Agama pula masih belum berupaya membuat kenyataan tegas seperti pihak istana, apabila Menteri Agama masih bersikap apologetik kononnya mahu mengkaji lagi terlebih dahulu. Agama Islam bukan milik ahli politik, dan ahli politik Melayu Islam jangan sesekali merosakkan nilai agama Islam demi kepentingan politik. Sepatutnya ahli politik Melayu Islam ini bila ada kuasa dan jawatan, berusahalah mencari jalan bersungguh-sungguh dan jalankanlah tugas dengan sebaiknya untuk mempertahankan kesucian Islam.
9. Hari ini jelas membuktikan golongan politikus gagal mempertahankan kesucian agama Islam sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan. Kini rakyat lebih meletakkan pengharapan penuh kepada DYMM SPB YDP Agong dan Majlis Raja-raja Melayu sebagai Ketua-ketua Agama Islam di negeri masing-masing apabila secara tegas tampil campur tangan dalam isu ini bagi mempertahankan kedaulatan Islam dan kedudukan Tuanku Raja-raja Melayu (RRM).
10. Susulan daripada surat istana, ia memberi keyakinan dan semangat bagi umat Islam Malaysia khususnya umat Melayu-Islam Malaysia akan sama-sama bangkit menjunjung DYMM SPB YDP Agong dan Sultan-Sultan Melayu dengan penuh semangat mempertahankan titah perintah Tuanku Sultan. Rakyat juga mengharapkan Raja-Raja Melayu yang lain akan turut sama mengeluarkan Surat Istana yang menegaskan larangan penggunaan Kalimah Allah dan beberapa kalimah lain oleh penganut agama selain Islam di negeri masing-masing.
11. Akhir kalam saya mendoakan semoga perjuangan menjaga kesucian Kalimah Allah serta konsep pemahaman istilah nama Kaabah, Baitullah dan Solat mendapat kemenangan di pihak umat Islam, dan semoga ia terpelihara selamanya di dunia hingga di akhirat. Ya Allah bantulah kami dan berilah kemenangan kepada Islam, amiin. Di Malaysia, Nama Allah adalah Hak Mutlak bagi umat Islam.
Lebai Kampung
@Haji Rashidi bin Haris
Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA
*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*