Isu 3 Kanak-Kanak Mualaf: MAIPs Fail Permohonan Mencelah Terma Hak Jagaan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SUBANG JAYA, 08 Mac 2020 – Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah memfailkan suatu permohonan untuk mencelah di dalam petisyen perceraian di antara Loh Siew Hong dengan suaminya Nagahswaran a/l Muniandy (yang kini telah memeluk Islam bersama dengan tiga orang anak-anak mereka, dan memakai nama Muhammad Nagashwaran bin Muniandy).
Permohonan difailkan melalui Tetuan Chambers of Zainul Rijal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Mac 2022 semalam.
Menurut peguam, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar, permohonan mencelah ini difailkan oleh MAIPs, supaya MAIPS mempunyai locus standi untuk membuat permohonan variasi ke atas terma-terma perintah jagaan tunggal tersebut.
“Di dalam petisyen perceraian tersebut, Loh Siew Hong telah diberi hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal ke atas tiga kanak-kanak di dalam perkahwinan tersebut.”
“Memandangkan kanak-kanak tersebut kini telah memeluk Islam, yang mana keislaman mereka didaftarkan di negeri Perlis, maka MAIPs bertanggungjawab untuk memastikan mereka mendapat akses ke atas segala hak dan kepentingan sebagai saudara baharu beragama Islam.”
Ujar beliau lagi dalam satu kenyataan media, permohonan itu juga khusus bagi membolehkan MAIPs mendapat akses memberikan bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan dengan Islam kepada tiga kanak-kanak tersebut.
Di samping itu, dapat memberikan sokongan dalam bentuk kewangan dari dana zakat dan lain-lain bantuan yang dibenarkan syarak, yang akan disalurkan melalui ibu mereka, Loh Siew Hong sendiri.
Tegas Dato’ Zainul Rijal, permohonan mencelah ini tidak sama sekali akan menafikan hak Loh Siew Hong sebagai ibu ke atas anak-anaknya.
“MAIPs ingin menegaskan bahawa MAIPs tidak mencampuri serta tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam pertikaian serta perceraian di antara Loh Siew Hong dengan Muhammad Nagahswaran, kerana pertikaian serta perceraian itu adalah semata-mata di antara kedua-dua bekas suami-isteri tersebut.”
Tambah beliau, walaupun telah berada dalam jagaan Loh, tiga kanak-kanak tersebut boleh dilihat tetap menzahirkan iktikad dan keazaman melalui perbuatan dan tingkah laku untuk terus berada dalam agama Islam.
“Bahkan dalam beberapa laporan media dikatakan menunaikan solat Subuh, dan salah seorang daripadanya apabila wartawan turut menjawab bercita-cita, apabila sudah dewasa kelak menjadi peguam Syarie.”
Justeru, beliau sekali lagi menegaskan agar tidak ada pihak yang cuba mengapi-apikan sentimen kebencian yang bersifat keagamaan atau perkauman sempit.
“Peranan MAIPs hanyalah semata-mata bagi memastikan bahawa kebajikan anak-anak mualaf serta aqidah mereka senantiasa terjaga apatahlagi mereka amat komited sebagai Muslim, dan agar mereka mendapat sokongan dan bantuan yang diperlukan dari sudut kewangan, pendidikan dan sosial.”