Israel Paksa Warga Gaza Pindah Ke Mesir – Pegawai PBB
SELASA, 12 Disember 2023 – Ketua bagi agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah membuat kenyataan bahawa pihak tentera Israel kini sedang dalam persediaan untuk memindahkan warga Gaza ke Mesir.
Menurut Philippe Lazzarini yang merupakan ketua bagi UN Relief and Works Agency, pihak tentera Israel juga akan mewujudkan syarat-syarat yang tidak memungkinkan warga Gaza untuk kembali kepada tanah air mereka. Ujarnya lagi,
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan beberapa negara ahli, termasuk Amerika Syarikat (AS), menolak dengan tegas tindakan menghalau warga Gaza daripada Semenanjung Gaza”.
“Namun perkembangan yang kami sedang saksikan adalah menunjukkan kepada percubaan bagi memindahkan warga Palestin ke Mesir, sama ada mereka akan kekal di sana ataupun akan dipindahkan ke tempat lain”.
Kenyataan-kenyataan tersebut telah dikeluarkan menerusi sebuah makalah yang ditulis sendiri oleh Lazzarini yang kemudiannya diterbitkan oleh media Los Angeles Times pada Sabtu lalu.
Jurucakap bagi Kementerian Pertahanan Israel telah menafikan dakwaan Lazzarini. Namun pada bulan lalu, dua orang ahli parlimen rejim itu telah menulis di Wall Street Journal bahawa mereka mahu negara di seluruh dunia menerima para pelarian Gaza yang memilih untuk berpindah.