ISIS Dedah Nama Ketua Terbaru
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SYRIA, 13 Mac 2022 – Islamic State of Iraq and Syria (ISIS), sebuah kumpulan pengganas antarabangsa, baru-baru ini mendedahkan nama ketua terbaru mereka setelah ketua terdahulu terbunuh dalam sebuah operasi yang dilakukan tentera Amerika Syarikat (AS).
Abu al-Hassan al-Hashemi al-Quraishi dilantik menjadi pemimpin utama ISIS setelah ketua terdahulu mereka, Abu Ibrahim Al-hashemi Al-Quraishi meledakkan bahan letupan yang mengorbankan dirinya serta ahli keluarganya.
Menurut al-Ain, identiti sebenar ketua ISIS tersebut masih lagi samar-samar kerana ISIS seringkali ‘menyembunyikan’ ketua mereka dengan meletakkan pelbagai nama samaran.
Namun, dipercayai al-Hashemi adalah salah seorang dari 5 ‘panglima’ ISIS, di mana Abu Ibrahim, ketua terdahulu ISIS juga merupakan salah seorang dari 5 tunjang ISIS ini.
Abu Ibrahim, ketua terdahulu ISIS, telah meletupkan dirinya pada 3 Februari lalu bagi mengelakkan dirinya ditangkap tentera AS. Kejadian tersebut telah meragut nyawanya serta ahli keluarganya, termasuk enam orang kanak-kanak.
Abu Ibrahim merupakan pengganti utama setelah kematian pemimpin ISIS yang agak ‘terkenal’, Abu Bakar al-Baghdadi. Al-Baghdadi meletupkan dirinya dalam sebuah operasi ketenteraan pada tahun 2019 sekaligus meragut nyawanya dan dua kanak-kanak.
Lapor Reuters, mantan ketua ISIS tersebut merupakan bekas tentera Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein.