NGO

Ini Bukan Darurat Politik – Ustaz Razali

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – Wakil Sekretariat Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-Raja (MAMPIR), Ustaz Razali bin Daud menegaskan, darurat yang diproklamasikan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah demi menyelamatkan keadaan dan bukan untuk melindungi kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Pihak PN yang mentadbir sebelum ini hanya diberi peluang untuk teruskan usaha yang telah dibuat dengan sokongan ordinan baru. Saya melihat ia suatu tekanan kepada kabinet PN kerana mereka wajib buktikan keupayaan dalam tempoh yang terhad atau hadapi kemurkaan baginda serta penolakan semua pihak dalam PRU15 nanti.”

“Negara sedang hadapi tiga krisis serentak iaitu kemerosotan ekonomi, perebutan kuasa kalangan parti politik dan pandemik Covid-19. Maka darurat diisytiharkan bagi mengawal kerajaan baginda bukannya kerajaan PN atau PH atau mana-mana parti.”

Menyifatkan pihak yang memainkan sentimen anti-YDPA sebagai pihak yang sengaja tidak mahu memahami kedudukan Seri Paduka Baginda (SPB), Ustaz Razali berharap agar pihak berwajib menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka.

“Kebanyakan suara yang membawa sentimen ini adalah berpunca dari tidak faham atau salah faham atau tak nak faham tentang kedudukan serta peranan YDPA dalam Perlembagaan Persekutuan. Mereka berhujah kononnya untuk menjaga demokrasi sedangkan sekian lama mereka abaikan suara rakyat marhaen demi kepentingan peribadi dan parti.”

“Saya menyarankan agar pihak berwajib menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang membawa anasir subversif atau seruan-seruan yang boleh membangkitkan ketidaksetiaan terhadap SPB YDPA sepertimana peruntukan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.”

Baginya, hanya mereka yang memahami politik kenegaraan sahaja yang mampu melihat perisytiharan darurat oleh YDPA sebagai satu pertimbangan yang wajar demi rakyat dan negara sekaligus memperlihatkan peranan raja dalam negara.

“Bagi kalangan mereka yang memahami politik kenegaraan, ia satu kebaikan kerana menzahirkan kedudukan serta peranan Raja-Raja dalam politik negara. Secara umumnya, mereka melihat ia suatu hikmah yang menyebabkan ahli politik tidak lagi boleh selesa memikirkan diri dan parti mereka sahaja sebaliknya mesti bersama mengambil berat soal kebaikan dan kesejahteraan rakyat.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: