Industri Sawit Dijangka Suram Seperti Industri Getah
MELAKA, 30 Ogos 2024 – Industri sawit negara dikhuatiri bakal menerima nasib yang sama dengan getah jika penanaman semula pokok sawit yang menghampiri usia 20 tahun kurang daripada empat peratus setahun.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jika penanaman semula pokok kelapa sawit tidak capai kadar tahunan ditetapkan iaitu empat hingga lima peratus setahun, dibimbangi situasi yang menimpa industri getah iaitu tidak lagi berkemampuan menampung keperluan dalam negara, bakal terjadi kepada industri sawit.
Jelasnya, Malaysia sebelum ini pernah bergelar pengeluar getah utama nombor satu dunia, namun kini terpaksa mengimport dengan nilai RM6 bilion setahun bagi menampung keperluan perkilangan seperti penghasilan sarung tangan getah dan sebagainya.
“Sebab kalau kita tengok dulu getah kita merupakan pengeluar getah utama dunia nombor satu. Sekarang ini kita jadi pengimport getah hampir RM6 bilion kita pakai tiap-tiap tahun.
“RM6 bilion untuk import getah untuk diguna pakai oleh industri untuk mengeksport macam rubber glove (sarung tangan getah) dan banyak rubber product (produk daripada getah).
“Begitu juga dengan kelapa sawit hari ini kita merupakan pengeluar kelapa sawit kedua terbesar dunia. Kita eksport 14.8 juta tan metrik. Kalau kita tidak jaga ini nanti kita juga akan ke belakang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Persidangan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2024 di sebuah hotel di Banda Hilir.
Tambah Johari, kadar penanaman semula pokok kelapa sawit negara masih rendah berbanding kadar tahunan yang disarankan amalan baik industri iaitu hanya 1.8 peratus setahun.
Katanya, difahamkan terdapat sekitar 1.7 juta hektar tanaman berusia lebih dari 19 tahun yang berpotensi menjejaskan pengeluaran.
“Kerana kita dapat lihat bahawa production (pengeluaran) kelapa sawit kita sejak 10 tahun yang lalu, telah menurun daripada 19.6 juta tan metrik turun jadi 18.5 juta tan metrik.
“Jadi ada lah sebabnya, salah satu daripada sebabnya adalah kita tidak membuat penanaman semula mengikut standard yang kita tetapkan iaitu tiap-tiap tahun, kita mesti ada sekurang-kurangnya empat atau lima peratus penanaman semula dilakukan,” katanya.