Import Lembu Hidup Dari Thailand Dipermudahkan Untuk Ibadah Korban
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 30 Jun 2022 – Demi memenuhi keperluan bekalan penyembelihan ibadah korban di Malaysia, Kerajaan telah mencapai persetujuan bersama dengan Thailand bagi memudah cara pengimportan lembu hidup ke negara ini.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menerusi kenyataannya pada Selasa memaklumkan, prosedur teknikal pengimportan lembu hidup telah ditambah baik seperti menyediakan pilihan dalam perakuan bebas penyakit sumber import dan menyingkatkan tempoh kuarantin di Malaysia kepada tiga hari.
Menurutnya, pengimport dan penternak dinasihatkan agar mematuhi syarat kesihatan veterinar yang dipersetujui berasaskan prosedur teknikal yang dimudah cara tersebut.
“Semua pihak terlibat dinasihatkan mendapatkan surat pemindahan ternakan antara negeri untuk tujuan pemantauan serta permit penyembelihan luar untuk tujuan penyembelihan qurban di luar rumah sembelih.”
Jelasnya, dokumen berkenaan boleh dipohon dari pejabat perkhidmatan veterinar negeri atau daerah terdekat.
Tambahnya lagi, tindakan itu penting bagi membolehkan pegawai perkhidmatan veterinar menjalankan pemantauan dan pemeriksaan dalam memastikan ternakan qurban bebas jangkitan penyakit dan karkas atau daging yang diedarkan adalah selamat untuk dimakan.
Sebelum ini, JPV telah mengeluarkan kenyataan pada 15 Mac lalu untuk membenarkan semula pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand setelah menggantung pengimportan tersebut kerana risiko penularan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang dilaporkan di Thailand pada tahun lalu.