Iktiraf Pelacur: Kalau Tidak Berada-Ada, Masakan Tempua Bersarang Rendah?
Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUANTAN, 8 April 2021 – “Bagi saya, kalau tidak ada sesuatu agenda yang tersembunyi dan ‘kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah’? Memang jelas mereka ingin mengubah nilai-nilai murni dan agama di negara ini. Atas alasan hak-hak asasi manusia inilah mereka cuba menyelinap merosakkan agama dan nilai-nilai murni rakyat di negara ini,” kata Timbalan Pengerusi Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah wal Jamaah Pahang (ISLAMI Pahang), Ustaz Yunan bin Abdul Samad dalam jawapannya mengenai isu hak asasi pekerja seks oleh Pesuruhjaya SUHAKAM, Dato’ Dr Madeline Berma.
Bagi Ustaz Yunan, kenyataan Dato’ Dr Madeline tentang hak asasi pekerja seks adalah tersasar jauh dari norma kehidupan masyarakat dan rakyat Malaysia, sebuah negara di mana rakyatnya menjunjung nilai budi, moral dan akhlak.
“Jelas mereka tidak menghormati Perlembagaan. Hak Asasi Manusia yang diperjuangkan perlu terpimpin dan ada batasannya. Dibataskan undang-undang yang sedia ada dalam negara. Negara ini ada kebebasan tetapi tidak menjerumus kepada KEBABASAN.”
“Kanun Keseksaan Seksyen 372 372A, 372B dan 373 jelas menjelaskan pelacuran adalah satu kesalahan. Apakah SUHAKAM mengajar rakyat negara ini melanggar undang-undang negara? Itu sangat menghairankan. Bagaimana SUHAKAM yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dalam masa yang sama boleh menganjurkan rakyat melanggar undang-undang yang sebenarnya memelihara maruah dan harga diri manusia itu sendiri?”
Bukan itu sahaja, kenyataan Pesuruhjaya SUHAKAM itu juga malah telah melanggar Rukunegara sendiri yang salah satu prinsipnya menggariskan kesopanan dan kesusilaan.
“Mewarnakan dan mencorakkan patung tidak mampu menukar patung itu menjadi manusia hidup. Apakah dengan menukar istilah pelacur kepada pekerja seks sudah boleh menghalalkan sesuatu aktiviti yang jelas bertentangan dengan undang-undang dan adat ketimuran masyarakat kita? Apakah Dr Madeline Berma bersedia untuk anak beliau menjadi pekerja seks? Adakah hati nuraninya tergamak melihat keluarga beliau menjadi pekerja seks (pelacur)?” persoal Ustaz Yunan.
Ujar Timbalan Pengerusi ISLAMI Pahang itu, beliau bersetuju sekiranya SUHAKAM dibubarkan kerana jelas kenyataan mereka melanggar undang-undang negara.
“Setuju SUHAKAM mesti dibubarkan. Jangan sampai cacing naik ke mata baru dirombak. NGO mesti mendesak SUHAKAM dibubarkan dan Dr Madeline dipecat.”
“Rakyat di seluruh negara perlu diberi pencerahan dan penerangan besar-besaran tentang idea bodoh sombong SUHAKAM ini yang mahu menghalalkan sesuatu yang jelas haram dan bertentangan dengan manusia yang bertamadun.”
Kata beliau lagi, isu ini diperjuangkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) kerana mereka salah faham terhadap keburukan aktiviti pelacuran.
Pelacuran hendaklah dirawat dan dihapuskan bukan dibela dan diperjuangkan.
Salah faham terhadap aktiviti tidak bermoral inilah yang membawa pendekatan yang berbeza. Sama juga dengan gejala penagihan dadah itu perlu dirawat dan diubati bukan dipelihara dan dikembangkan.
“Sudah tentu pelacuran ini merosakkan moral dan akhlak juga menyebabkan penyakit-penyakit seperti HIV, siflis dan seumpamanya merebak. Juga merosakkan kerukunan rumah tangga dan bermacam-macam lagi sehingga Islam meletakkan zina itu dosa besar selepas syirik dan membunuh.”
“Allah SWT lebih tahu kerosakan zina kerana itu Islam melarang keras pelacuran atas istilah apa pun ianya sangat merbahaya kepada agama, bangsa dan tanah air (ABATA),” ujar beliau menutup soal jawab.