Hina YDPA, Pekebun Didenda RM6,500
KUALA LUMPUR, 28 Februari 2023 – Angkara mengeluarkan kenyataan berbaur jelik terhadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong, seorang pekebun dijatuhkan denda RM6,500 oleh Mahkamah Sesyen, semalam.
Mengikut pertuduhan, pada 10 Disember lalu, Muhammad Hanis Nordin yang berusia 34 tahun itu telah menggunakan laman profil Facebook ‘As Bul’ secara sedar untuk membuat serta memulakan komunikasi bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada jam 3.23 petang.
BACA JUGA: PM Minta Beri Masa Untuk Naikkan Gaji Penjawat Awam
BACA JUGA: Memperingati Tragedi Penyembelihan Muslim Gujerat Oleh Ekstremis Hindutva
BACA JUGA: Belanjawan 2023: Slogan Cukai Si Kaya, Barangan Mewah, Tidak Beri Faedah Kepada Negara
Hantarannya itu kemudiannya dilihat tiga hari selepas itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada jam 8.18 malam.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh untuk dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda, menurut sebuah berita tempatan.
Sebelum ini, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar denda dikurangkan atas sebab dia menyesali perbuatan yang dilakukan serta berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellya Nur Azmal memohon agar hukuman setimpal diberikan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.
“OKS sudah melanggar hak kebebasan bersuara kerana perkataan yang digunakan oleh OKS dalam hantaran itu tidak mencerminkan budaya kesopanan dan kesusilaan seperti mana termaktub dalam Rukun Negara,” tegasnya.