Hentikan Normalisasi Drama Berunsur Lucah & Songsang
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
Nauzubillahiminzalik ialah lafaz yang keluar dari mulut usai sahaja melihat trailer drama bersiri ‘Stay Away From Me’ yang memaparkan secara terang-terang kelakuan berunsur seksual dua orang pelakon lelaki muda yang duduk berdua-duan di atas katil melakonkan adegan seakan peluk-memeluk bahkan ditunjukkan babak watak utama menghisap jari “si heroin” yang terluka ketika memasak.
Ini adalah suatu perbuatan keji dan mungkar.
Normalisasi tarikan seks sejenis atau lesbian, gay, transgender, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) semakin membarah tanpa kita sedar dan ia mula mempengaruhi anak muda yang seharusnya tidak terjebak dalam hal-hal bertentangan Perlembagaan Persekutuan, syariat Islam serta norma masyarakat setempat.
Rasulullah ﷺ telah menegaskan bahawa amalan songsang ini adalah perkara yang dilaknat oleh Allah SWT. Sabda Baginda:
لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ
“Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut”. (HR Ahmad)
Bahkan menurut al-Imam Ibn al-Jauzi, Rasulullah tidak pernah melaknat pelaku dosa besar sebanyak tiga kali berturut-turut seperti yang dilakukan kepada pelaku-pelaku homoseksual. Ketegasan Islam dalam menangani permasalahan ini amat jelas dan tidak boleh disangkal lagi.
Saya perhatikan normalisasi amalan songsang ini bakal membuka ruang yang amat luas untuk eksploitasi seksual kanak-kanak berlaku bagi remaja di bawah umur kerana mereka masih naif dan jahil akan peruntukan-peruntukan yang wujud di bawah bidangkuasa jenayah Sivil dan Syariah.
Undang-undang secara teguh melarang kelakuan tidak bermoral, amalan seks songsang dan di luar tabie. Sudah dikanunkan pelbagai jenis bentuk salahlaku dan hukuman bagi jenayah, sebagai contoh pengantunan seksual (sexual grooming) dan amang seksual (sexual harassment) di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792].
Apatah lagi undang-undang tetap seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Kanun Keseksaan telah menjenayahkan perbuatan mana-mana individu, kumpulan atau organisasi yang melakukan atau mewujudkan suasana yang membolehkan kesalahan seksual songsang berlaku di tempat awam dan tertutup, secara fizikal atau secara atas talian di Malaysia.
Selain itu, kemunculan serta penggunaan platform ‘Blued’ yang dikatakan sebagai aplikasi rangkaian sosial gay terbesar di dunia, di sebuah negara Islam adalah sungguh memalukan. Platform ini malah dipromosikan oleh pengarah drama tempatan, anak seni watan dan jijik sekali, dijadikan karya buat tontonan seluruh pengguna rangkaian sosial itu yang terdiri daripada pengamal homoseksual seantero dunia.
Saya telah membuat laporan ke atas aplikasi tersebut kepada Play Store dan aduan berkenaan poster beserta trailer drama bersiri “Stay Away From Me” itu di laman sosial Instagram atas alasan “inappropriate” kerana semua itu dipercayai mengandungi kandungan seksual termasuk elemen lucah.
Oleh kerana pelakon utama drama bersiri tersebut ialah seorang pemuda yang baru sahaja berumur 17 tahun, maka Akta Kanak-Kanak 2001 terpakai kepada beliau. Seksyen 2 Akta tersebut mendefinisikan kanak-kanak sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun.
Ini menatijahkan bahawa semua ahli produksi drama bersiri ini bertanggungjawab sepenuhnya di atas tindakan mereka mengantun (grooming) seorang kanak-kanak sehingga mengakibatkan individu tersebut mempercayai dan dengan tindakan sukarela mahupun terpaksa, melakonkan aksi-aksi tidak senonoh seolah-oleh adegan pornografi yang kemudiannya ditayangkan atas tujuan komersil.
Setiap ahli masyarakat perlu kembali kepada prinsip agama dan kepatuhan terhadap peruntukan undang-undang agar kesan buruk gejala sosial dapat dibendung. Agensi kementerian seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula diseru agar memberi perhatian yang tegas dan sewajarnya ke atas isu ini agar generasi muda terhindar daripada melakukan amalan tidak bermoral yang bakal merosakkan masa hadapan individu, masyarakat serta negara secara amnya.
Nur Farihah Meor Mazli
Exco Belia & Media WAFIQ
Exco Wanita PEMBELA
Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my