Harga Daging Bakal Naik Sempena Aidilfitri
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
ALOR SETAR, 12 April 2022 – Pengguna daripada kalangan umat Islam Malaysia bakal menerima tekanan kenaikan harga daging pula sempena sambutan perayaan Aidilfitri selepas terpaksa menghadapi kenaikan harga daging ayam.
Mohammad Yusrizal Yusoff, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menjangkakan kenaikan harga dedak yang melambung baru-baru ini bakal menyebabkan harga daging untuk turut sama meningkat.
Syarikat pengeluar makanan ruminan terkemuka di negeri bahagian utara Malaysia sudah pun mengumumkan kenaikan harga dedak, menurut CAKE lagi.
“Tahun ini, harga dedak di pasaran sudah mencecah RM80 bagi setiap tan metrik berbanding sebelum ini hanya RM60 sahaja,’ katanya.
CAKE menggesa pihak kerajaan untuk mengambil cakna tentang isu kenaikan harga dedak kerana ia boleh menyebabkan para peniaga dan penternak terpaksa menaikkan harga daging.
“Walaupun kerajaan melaksanakan skim kawalan harga, tetapi harga daging tidak boleh mengikut harga yang ditetapkan kerana peniaga akan menanggung kerugian.”
“Syarikat yang mengedarkan makanan ruminan itu pula mendakwa peningkatan harga tidak dapat dielak berikutan kenaikan kos bahan mentah di pasaran.”
Sebelum ini, Samudera.my telah membuat pendedahan mengenai situasi di mana para pengguna ditekan dengan kenaikan beberapa harga barang basah seiring dengan bertambahnya permintaan pada bulan Ramadan ini.
Antara barang basah utama yang meningkat permintaan dari para pengguna pada ketika ini adalah daging ayam, yang kini kos untuk membelinya turut mengalami peningkatan.
Ini kerana para pengguna terpaksa menyerap kos caj perkhidmatan pengangkutan yang secara tiba-tiba dikenakan oleh pemborong menyebabkan harganya melonjak melepasi harga siling.