Hanya 4% Pencarum KWSP Mampu Bersara Dengan Simpanan Sekurang-kurangnya RM600,000
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 07 Oktober 2022 – Hanya empat peratus daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mampu bersara dengan mempunyai sekurang-kurangnya RM600,000 dalam simpanan, menurut penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (Khazanah Research Institute, KRI).
Ini kerana rakyat Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya RM600,000 untuk bersara dengan selesa di Kuala Lumpur selepas mengambil kira kenaikan harga, kos rawatan biasa atau pesakit luar dan keperluan lain.
Selain itu, kajian di Alor Setar iaitu tempat paling murah untuk bersara pula mendapati seseorang individu memerlukan sekurang-kurangnya RM480,000 untuk hidup dengan selesa selepas bersara.
Para penyelidik juga mendedahkan, lebih kurang separuh daripada pencarum berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dan simpanan tersebut akan habis lebih cepat jika mereka mempunyai perbelanjaan di luar jangkaan seperti kos perubatan.
“Dengan jumlah ini, pencarum yang membuat pengeluaran penuh pada umur 55 tahun hanya boleh berbelanja sebanyak RM1,000 sebulan selama 4 tahun.”
Justeru, antara cadangan untuk untuk membantu golongan ini adalah dengan memperkukuh simpanan persaraan termasuk meningkatkan caruman majikan untuk pekerja bergaji rendah, mengagihkan kadar dividen yang lebih tinggi untuk pencarum yang mempunyai simpanan rendah dan memanjangkan tempoh caruman sehingga umur 65 tahun.
Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memaklumkan dalam satu kenyataan mengenai situasi sukar yang akan dihadapi pengeluar KWSP pada masa hadapan susulan pengeluaran simpanan yang dibuat melalui i-Lestari serta i-Sinar pada 2020, i-Citra pada Julai 2021 dan pengeluaran khas pada Mac 2022.
Dana tersebut yang sepatutnya berfungsi sebagai pencen itu terpaksa dikeluarkan ahli KWSP bagi menangani masalah kewangan yang dihadapi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak tahun 2020.