Hanya 1/5 Pejuang Hamas Terkorban Sejak Oktober – WSJ
ISNIN, 22 Januari 2024 – Sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Wall Street Journal (WSJ) telah menyatakan bahawa Israel hanya berjaya membunuh 20 sehingga 30 peratus para pejuang Hamas sejak pengisytiharan perang pada Oktober tahun lalu.
Laporan yang dikeluarkan pada Ahad lalu itu memetik sumber daripada jangkaan pihak perkhidmatan perisikan Amerika Syarikat (AS).
Menerusi sebuah laporan yang disusun awal bulan ini, Washington telah menganggarkan bahawa Hamas mempunyai di antara 25,000 sehingga 30,000 pejuang di Gaza sebelum berlakunya peperangan, dengan tambahan ribuan ahli lain di wilayah terbabit.
Laporan tersebut adalah berdasarkan dron pengawasan, perisikan Israel serta komunikasi yang dipintas.
WSJ juga turut menyatakan bahawa berdasarkan maklumat daripada pegawai AS, terdapat anggaran bahawa sekitar 5,000 ke 9,000 pejuang Hamas yang telah berjaya dibunuh manakala 10,500 ke 11,700 lagi telah cedera. Mereka yang cedera itu dianggarkan akan kembali menyertai pertempuran.
Manakala jangkaan dari pihak Israel pula adalah berbeza, di mana mereka telah menganggarkan bahawa terdapat lebih daripada 30,000 para pejuang Hamas, yang mana daripada jumlah tersebut 10,000 daripada mereka telah berjaya ditumpaskan.
Israel juga menganggarkan bahawa lebih ramai pejuang Hamas yang tercedera dan ramai daripada mereka sudah tidak mempu untuk meneruskan pertempuran.