Tempatan

Hak Asasi Pekerja Seks: Madeline Berma Perlu Dipecat – Ustaz Masridzi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 7 April 2021 – “Gerakan mendesak Dato’ Dr Madeline Berma meletakkan jawatan atau dipecat perlu dijalankan dan SUHAKAM juga mesti dikaji, disiasat serta ditentukan semula fungsinya sama ada ianya membawa kebaikan atau keburukan kepada rakyat dalam negara kita,” kata Ustaz Masridzi Sat, Naib Pengerusi PEMBELA.

“Dato’ Dr Madeline Berma melalui platform pesuruhjaya SUHAKAM cuba memasukkan isu perjuangan hak asasi Barat dalam negara Islam khususnya di Malaysia. Beliau cuba menyambung perjuangan hak asasi acuan liberal barat yang telah ditolak oleh kerajaan Malaysia sebelum ini seperti isu hak LGBT, ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), statut Rom dan macam-macam tuntutan lagi dan sekarang hak asasi industri seks di Malaysia pulak.”

Ujarnya lagi, isu yang Madeline perjuangkan juga jelas tidak diiktiraf oleh undang-undang negara sama ada sivil ataupun syariah.

“Persoalannya, sejak bila negara Malaysia ada industri seks? Sejak bila ada undang-undang yang membenarkan industri seks dalam negara ini? Jika ada pun, bukan di atas kebenaran pihak kerajaan tetapi kegiatan sindiket haram yang dipayungi oleh kartel-kartel tertentu,” kata Ustaz Masridzi.

Tambah Ketua Keselamatan & Sosial PEMBELA ini, kenyataan pesuruhjaya SUHAKAM yang mengiktiraf atau cuba menghalalkan industri seks di Malaysia jelas menunjukkan beliau cuba merosakkan maruah agama, bangsa dan budaya masyarakat yang selama ini sangat sensitif dalam soal menjaga maruah wanita.

Malah, katanya lagi, mengiktiraf industri seks dalam negara Malaysia bukan sahaja dalam konteks undang-undang Syariah negeri-negeri, undang-undang Sivil, Perlembagaan Negara mahupun Rukunegara, tetapi juga bertentangan dengan nilai budaya dan tatasusila masyarakat negara yang tinggi tamadun dalam menjaga maruah.

“Jika wanita Malaysia digambarkan terlibat dalam industri seks beliau telah menghina maruah kaum wanita yang majoriti beragama Islam dalam negara ini, juga telah cuba mempromosi agenda jahat liberal hak asasi negara non-Muslim barat termasuk telah memburukkan negara Malaysia di pandangan negara lain seolah Malaysia membenarkan industri seks dalam negara ini.”

Apabila ditanya mengapa isu seperti ini yang diperjuangkan oleh badan-badan yang ditubuhkan sendiri oleh kerajaan, Ustaz Masridzi Sat menjawab, ia berpunca daripada kerajaan Malaysia sendiri.
“Kepimpinan politik kerajaan Malaysia selalu tidak stabil, cuai dan lambat bertindak dalam isu-isu serangan gerakan hak asasi liberal barat yang merosakkan moral dan aqidah kepada rakyat dalam negara kita. Banyak kes setelah NGO-NGO Islam bersuara dan membuat bantahan baru keputusan dan tindakan dibuat, bahkan ada yang terjadi kes sudah bertapak lama, dah teruk baru berfikir hendak bertindak.”

Tambahnya, “Isu pelacuran dalam negara saya lihat masih gagal dihapuskan selagi kepimpinan negara lebih menjaga kepentingan politik dari kepentingan keselamatan rakyat dalam negara, isu sokongan undi dan pengaruh politik menyebabkan banyak premis-premis haram termasuk pelacuran dibiarkan operasi kerana hendak jaga hati orang bukan Islam, ditambah lagi gejala rasuah dari kartel besar yang berpengaruh yang memayungi industri ini, segelintir pemimpin dan pihak berkuasa yang terlibat buat-buat buta dengan maksiat di depan mata kerana merasakan ia boleh mengisi ekonomi negara dan kroni mereka.”

Selain itu, kerajaan juga terlalu bertolak ansur dan memberi ruang kepada gerakan perosak seperti ini untuk melebarkan sayapnya.

“Tidak hairanlah kenapa banyak kerosakan telah lama dan parah berlaku dalam gejala maksiat dan mungkar dalam negara kita. Sepatutnya organisasi gerakan perosak dari agenda musuh umat Islam dan rakyat dari luar negara dan yang bergerak dalam negara dipantau dengan ketat bahkan segera disiasat dan diambil tindakan tegas jika merbahayakan kepada rakyat dan negara terutama kepada rakyat pribumi Melayu Islam yang menjadi kaum teras dan majoriti dalam negara kita ini,” tegasnya.

Ujar beliau yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID MALAYSIA) ini, golongan ini bukan sahaja tidak menghormati Perlembagaan dan kedudukan Islam, malah kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Memang sejak dulu lagi golongan pelampau non-Muslim di negara kita yang didoktrin oleh agenda liberal negara non-Muslim barat tidak menghormati hak-hak Islam dan umat Islam walaupun sudah jelas dalam Perkara (3) Perlembagaan Negara menyebutkan Islam adalah Agama Persekutuan bagi negara ini. Bahkan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Negeri atau Negara, ketua Agama Islam bagi negeri-negeri dan negara kita juga pernah dihina dan ada agenda golongan berfikiran agenda liberal ini hendak menghapuskan kuasa Raja-Raja Melayu juga hendak jadikan Malaysia sebagai sebuah negara Republik. Semua kes-kes begini begitu ketara terutama waktu kerajaan PH berkuasa 22 bulan yang lalu.”

Menyentuh mengenai isu pelan jangka panjang yang ingin dicapai oleh SUHAKAM dan yang sewaktu dengannya dalam memperjuangkan agenda seperti ini, Ustaz Masridzi berkata, berdasarkan rekod, mereka sememangnya mempunyai agenda yang tersirat dari yang tersurat.

“Gerakan Evangelist zionis barat memang selalu mempergunakan organisasi di atas nama hak asasi manusia untuk masuk, campur tangan dan menyebarkan agenda mereka ke negara-negara umat Islam di seluruh dunia.”

Maka, Ustaz Masridzi berpendapat bahawa NGO-NGO Islam adalah benteng terakhir negara dalam mempertahankan maruah dan martabat agama, bangsa dan tanah air dari dirosakkan oleh agenda musuh.

“NGO-NGO Islam adalah benteng terakhir negara. Mereka berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air (ABATA) bukan untuk kepentingan mana-mana politik, tetapi di atas tuntutan iman dalam diri, di atas kewajipan mempertahankan maruah dan martabat agama, bangsa dan tanah air dari dirosakkan oleh agenda musuh dari dalam dan luar.”

“Semua NGO-NGO Islam wajib bangkit dan bersatu, menegur, membantah, mendesak kerajaan agar jangan leka dengan permainan politik yang tak habis-habis sedangkan gerakan liberal dan hak asasi barat makin berkembang biak dan banyak pulak menang kes dalam perundangan negara, maknanya benteng pertahanan kita telah ditembusi dan rakyat khususnya umat Islam makin dalam bahaya.”

Ustaz Masridzi sekali lagi menegaskan bahawa Madeline yang jelas telah membawa naratif negatif yang buruk kepada SUHAKAM wajar meletakkan jawatan atau dipecat dari jawatannya.

“Justeru itu juga gerakan untuk mendesak Dato’ Madeline Berma ini meletakkan jawatan atau dipecat serta SUHAKAM juga perlu dikaji dan disiasat rekod perkhidmatannya jika peranannya membawa lebih mudarat dan bahaya kepada agama, bangsa dan negara maka wajar juga didesak kepada kerajaan untuk ianya dibubarkan.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: