Gergasi Simen Perancis Lafarge Dituduh Dokong Islamic State, Denda RM3.6 Bilion
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
NEW YORK, 19 Oktober 2022 – Lafarge SA (Lafarge), sebuah syarikat gergasi simen Perancis telah mengaku bersalah dan bersetuju untuk membayar denda sejumlah AS$778 juta (RM3.66 billion) atas satu pertuduhan bersubahat memberikan sokongan material kepada kumpulan militan Islamic State dan kumpulan yang dilabel sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat (AS).
Lafarge turut membayar Islamic State dan Al-Nusra melalui perantara sekitar AS$5.9 juta (RM27.8 juta) dari 2013 hingga 2014 bagi membolehkan pekerja, pelanggan dan pembekal melepasi pusat pemeriksaan, yang membolehkan syarikat itu memperolehi hasil jualan AS$70 juta (RM 330 juta) sepanjang tempoh tersebut.
Ini adalah kes yang pertama membabitkan sebuah syarikat swasta menghadapi tuduhan bersekongkol dengan pertubuhan pengganas. Breon Peace, pendakwa raya persekutuan tertinggi di Brooklyn memberitahu pemberita berikutan pengakuan bersalah.
“Tindakan oleh syarikat ini adalah membahayakan dan tidak wajar dilakukan.”
Pengerusi Lafarge Magali Anderson telah menyatakan di mahkamah bahawa dari Ogos 2013 hingga November 2014, bekas eksekutif syarikat itu “secara sedar dan sengaja bersetuju untuk mengambil bahagian dalam konspirasi untuk membuat dan membenarkan pembayaran yang bertujuan untuk manfaat pelbagai kumpulan bersenjata di Syria.”
Kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di Paris, Sherpa, turut memfailkan aduan terhadap Lafarge di Perancis yang mendorong penyiasatan jenayah bagi memastikan sama ada syarikat itu terlibat dalam jenayah terhadap kemanusiaan. Namun begitu Lafarge telah menafikan tuduhan bahawa ia terlibat dalam jenayah terhadap kemanusiaan.