Tempatan

Gerakan Liberal Untuk Jatuhkan Pengerusi SUHAKAM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Sejak dari dahulu lagi pihak liberal berjaya mempengaruhi atau menguasai SUHAKAM. Apabila Pengerusi dan kemudiannya kebanyakan pesuruhjaya SUHAKAM bukan dari kumpulan atau cadangan mereka, mereka telah mulakan satu gerakan untuk menjatuhkan SUHAKAM.

Ada dua insiden yang membimbangkan/menakutkan atau membuat mereka marah.

Satu apabila dari awal lagi Pengerusi hendak membawa hak asasi manusia (HAM) acuan tempatan berasaskan Perlembagaan. Ini bertentangan langsung dengan ideologi mereka yang mahukan kita menerima totok ideologi dan nilai budaya HAM barat. Pada mereka HAM ini universal dan semua termasuk undang-undang kita mesti akur.

Sebab itu mereka pandang enteng Perlembagaan kita dan ini jelas ketika mereka mahu meratifikasikan ICERD tanpa menghiraukan Perlembagaan. Malah sesetengah mereka menganggap Perlembagaan kita sebagai rasis kerana ia diskriminatori. Ini sebenarnya melampau sebagai rakyat Malaysia. Tidak menghormati Perlembagaan kita.

Sebenarnya Akta SUHAKAM jelas menyatakan konsep HAM yang boleh dibawa oleh SUHAKAM hanyalah kebebasan asasi dalam Perlembagaan kita dan bukan HAM barat semata-mata. Seksyen 4 jelas menyatakan Pengisytiharan Sejagat HAM di peringkat antarabangsa hanya boleh dipakai selagimana tidak bercanggah dengan Perlembagaan. Inilah acuan HAM kita yang SUHAKAM kini mahu bawa yang mereka tentang.

Kedua, insiden geran EU. Selama bertahun-tahun SUHAKAM menerima geran EU yang bernilai berjuta-juta. Dari geran ini, mereka mendapat manfaat. Sebab itu mereka mahu geran ini dikawal oleh orang yang mereka mahu. Apabila tahun ini ia bakal dikawal bukan dari orang yang mereka mahu, mereka cukup tidak senang dan melenting.

Atas motivasi ini mereka menuduh pelbagai.

Satu menuduh SUHAKAM tidak menjalankan libat urus dengan NGO HAM seperti yang dinyatakan oleh Theresa Kok. Pada MACSA ini jelas tidak betul. Sebelum ini SUHAKAM kebanyakannya melibatkan NGO-NGO liberal. Mereka tidak inklusif seolah-olah HAM ini milik mereka. Tetapi kini mereka lebih terbuka. MACSA telah terlibat dalam beberapa perjumpaan dan libat urus termasuk bengkel proses UPR yang dikendalikan oleh EU. Baru-baru ini MACSA, SUHAKAM dan UIA berjaya mengendalikan seminar bersama “universalisme dan cultural relativisme”. Sama juga dengan “Watching Brief”. Dahulu, hanya peguam sebelah sana dijemput. Kini ada peguam MACSA terlibat dengan Watching Brief SUHAKAM. Pada MACSA ini pun sedikit dan mengharapkan SUHAKAM memberi ruang lagi sepertimana NGO-NGO lain.

Kedua, menuduh Pengerusi melakukan rasisme. Kita mahu tahu apa yang dilakukan beliau yang dikatakan rasis. Ada asas atau tidak. Rasis ini subjektif dan telah banyak kali disalahgunakan. Sekenal saya beliau bukan rasis. Jadi kita mahu tahu. Satu siasatan telus, bebas dan adil patut dilakukan untuk menentukannya. Kalau tak betul, hak saman malu adalah hak peribadi seseorang.

Jelas pihak liberal dari awal tidak puas hati dengan SUHAKAM dan pelbagai gerakan licik kenyataan dilakukan untuk mempengaruhi rakyat dan Kerajaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan reputasi Pengerusi dan SUHAKAM. Gerakan yang berkepentingan ideologi dan wang untuk menjatuhkan ke atas mereka yang pihak liberal tak setuju, patut diberhentikan dengan segera.

Pautan Asal: FB Lukman Sheriff

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: