‘Gerakan Islam’ Kerajaan Rancak Sucikan Parti, Bisu Soal Agama
KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2023 – “Yang sedihnya selepas diasak bertubi-tubi oleh NGO-NGO Islam maka barulah ada kenyataan dibuat oleh Menteri Agama. Saya juga hairan pada ‘gerakan-gerakan Islam’ yang kini berada dalam kerajaan nampaknya tidak begitu prihatin dengan isu ini seolah-olah macam politikus-politikus lain juga.”
“Bila dah dapat jawatan dan habuan, soal agama dan bangsa dipersetankan begitu sahaja. Apa tidaknya, kita lihat mereka begitu mudah, rela hati dan sentiasa bersedia diperkudakan dengan membuat sidang media menyucikan parti tertentu tetapi membisu dalam soal agama,” tegas Pengerusi Kepimpinan Zaaba (ZIL), Haji Aminuddin Yahaya mengenai satu kes, di mana seorang wanita Muslim mencabar keabsahan Mahkamah Syariah untuk menggubal undang-undang hukuman terhadap kesalahan jenayah syariah seperti minum arak, berjudi, berzina dan lain-lain.
Menurut beliau, “Impak kes ini sangat besar kerana jika wanita itu menang bermakna Mahkamah Syariah tidak ada lagi kuasa menentukan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan tersebut. Maka dengan sendirinya kuasa Mahkamah Syariah akan semakin mengecil dan usaha untuk memartabatkan hukum Islam di negara ini akan semakin terhimpit.”
BACA JUGA: Penyakit Kulit Berketul (LSD): Malaysia Sekat Import Lembu Dari Australia
BACA JUGA: Pembinaan Lapangan Terbang Tioman Batal – Menteri
BACA JUGA: Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais Dilantik Ketua Hal Ehwal Agama Dua Masjid Suci
Hj Aminuddin turut berpendapat, perkara ini telah dirancang dengan teliti oleh pihak yang tidak mahu melihat agama Islam diperkasakan di Malaysia.
“Mereka bukan baru buat perancangan tetapi katanya sejak sepuluh tahun yang lepas. Cuma yang peliknya kenapa pihak kerajaan sama ada yang sekarang atau yang terdahulu tidak melakukan apa-apa inisiatif supaya usaha-usaha sebegini dapat disekat?” soal beliau.
“Tidak pernah kita dengar pun ahli-ahli parlimen kita berbincang di parlimen berkenaan isu sebegini lebih-lebih lagi isu ‘strategic litigation’ terhadap peruntukan-peruntukan Islam sudah lama bermula dan banyak.”
Pengerusi ZIL itu juga menjangkakan golongan itu akan terus berusaha mencabar kedudukan Islam supaya akhirnya satu hari nanti akan terpinggir menjadi tidak lebih dari amalan ritual semata-mata seperti agama-agama lain di Malaysia.