Firma SIMBA Sedia Perkhidmatan Undang-Undang Rentas Pelbagai Bidang Kuasa
Pada hari ini telah dimeterai persetujuan antara beberapa firma guaman daripada Singapura, Indonesia, Malaysia, Brunei dan Australia (“SIMBA”) untuk membentuk sebuah afiliasi firma guaman yang dinamakan SIMBA Law Alliance.
Penubuhan SIMBA Law Alliance bermatlamat untuk membina jaringan undang-undang merentasi sempadan khususnya di Asia Pasifik di samping memberi ruang untuk bergerak aktif di peringkat antarabangsa. Ia juga memberi peluang kepada pelanggan dari negara lain untuk mendapat rujukan peguam yang terbaik di suatu negara melalui gabungan ini.
Antara objektif afiliasi ini ialah:
1. Untuk meningkatkan perkhidmatan undang-undang yang merentas sempadan dan kepakaran di rantau yang terlibat;
2. Untuk menyediakan perkhidmatan undang-undang yang lancar dan bersepadu merentasi pelbagai bidang kuasa;
3. Untuk berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik di kalangan firmafirma terlibat;
4. Untuk memudahkan peluang perniagaan dan pelaburan antara negara terlibat;
5. Untuk menggalakkan dan menegakkan mutu etika dan kelakuan professional yang tinggi dalam kalangan gabungan terlibat;
6. Untuk meningkatkan keterlihatan dan kredibiliti firma-firma terlibat di dalam negara masing-masing serta di peringkat global;
7. Untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan inovasi dan teknologi undang-undang;
8. Untuk menyediakan peluang latihan dan pembangunan untuk peguam bagi anggota yang terlibat;
9. Untuk memperjuangkan kepentingan dan keperluan profesion undang-undang di rantau yang terlibat; dan
10. Untuk melibatkan diri dengan agensi kerajaan dan pihak berkepentingan lain mengenai isu perundangan dan kawal selia yang mempengaruhi rantau yang terlibat.
Dalam persidangan di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh enam firma guaman pada hari ini, Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar (mewakili Malaysia) telah dipilih sebagai Pengerusi SIMBA Law Alliance manakala Encik Ahmad Nizam Abbas (mewakili Singapura) sebagai Timbalan Pengerusi dan Azman Marsaleh sebagai Setiausaha Kehormat.
Wacana peningkatan ilmu dan latihan dalam kalangan anggota SIMBA Law Alliance akan diadakan dari masa ke masa bagi meningkatkan profesionalisme anggota.
Keanggotaan SIMBA Law Alliance juga akan dibuka kepada firma guaman dari rantau luar kerana sudah ada permintaan dari firma di Eropah dan Afrika untuk menyertai gabungan ini. Anggota SIMBA Law Alliance juga pada hari bersetuju mengadakan persidangan tahunan anggota yang akan diadakan dalam masa terdekat.
SIMBA Law Alliance bukan hanya akan memberi manfaat kepada firma anggota tetapi juga pelanggan di dalam setiap negara dimana rujukan kepada kes-kes antara bidang kuasa dapat dilakukan di samping peningkatan ilmu perundangan antara firma anggota.
SIMBA Law Alliance juga mengalu-alukan firma guaman untuk menyertai gabungan ini dengan menghubungi En Azman di emel [email protected]
Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Pengerusi
SIMBA Law Alliance
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my