Tempatan

El-Nino Bakal Jejas Pendapatan Pesawah Dan Pekebun Kecil

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 FEBRUARI 2024 – Fenomena El-Nino sedang melanda negara pada penghujung Monsun Timur Laut kali ini dijangka akan menjejaskan pendapatan lebih 600,000 pesawah dan pekebun kecil.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia, Adzmi Hassan berkata, dengan suhu purata harian mencapai 37 darjah Celsius, hasil penoreh getah akan mempengaruhi pengeluaran industri getah.

“Kebiasaannya apabila cuaca panas, daun pokok getah mula berkurang dan hasilnya juga berkurang. Selalunya, boleh dapat antara 900 kilogram (kg) sehingga 1,300kg untuk satu hektar setahun.”

“Faktor pembajaan oleh penoreh dan cuaca panas memainkan peranan. Apabila pokok getah daunnya luruh, maka kurang getahnya,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, walaupun harga getah ketika ini pada RM3.25 dapat memberi kelegaan kepada penoreh, namun ia tetap bergantung kepada lokaliti dan kualiti sekerap.

“Harga sekarang tinggi untuk sekerap yang mempunyai DRC (Dry Rubber Content) tetapi menjadi rendah sekiranya sekerap mempunyai air yang banyak iaitu pada harga RM2.75 sehingga RM2.80 bergantung kawasan.

“Dengan harga tinggi walaupun cuaca panas, penoreh sanggup keluar pagi atau petang untuk menoreh dan dapatkan hasil. Kalau menoreh sendiri dapat banyak berbeza dengan pekebun yang mengupah orang yang hanya mendapat sedikit sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, EXCO Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, El Nino menyebabkan beberapa sawah yang terletak di luar kawasan tanaman Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengalami kekurangan air.

“Kawasan ini mengalami masalah sebab ada yang belum dituai, padi belum terbit dan tanah merekah. Jadi, hasil pengeluaran pun secara tidak langsung terjejas sebab lari daripada jadual yang dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, pesawah juga terpaksa memendekkan aktiviti pertanian selepas tidak dapat lagi berada di kawasan sawah pada pukul 10 pagi hingga 4 petang akibat cuaca panas melampau.

Seputar info, fenomena El Nino yang diramal berterusan sehingga Mei berpotensi mengakibatkan gangguan bekalan air dan mengurangkan paras air empangan ekoran cuaca menjadi semakin panas serta kering melampau.

Terdahulu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran memaklumkan Malaysia sedang melalui situasi genting kerana kapasiti sebenar air bagi 16 daripada 55 empangan tidak diketahui.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: