Dua Undang-Undang Baharu Jenayah Seksual Kanak-Kanak Dibentang 29 Mac Ini
KUALA LUMPUR, 24 Mac 2023 – Penstrimen seks secara langsung dan penderaan seks dalam talian terhadap kanak-kanak menjadi kesalahan baharu dalam jenayah seksual kanak-kanak dan akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Mac ini.
Perkara tersebut disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang menyatakan bahawa undang-undang tersebut akan diletakkan di dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
BACA JUGA: Ramadan: Harga Barang Naik Mendadak, Peniaga & Pengguna Mahu Kerajaan Bertindak
BACA JUGA: Antunan Seksual Kanak-Kanak Antara Penyebab Jangkitan HIV
BACA JUGA: Individu Belasah Pemandu Treler Dalam Kemalangan Maut Diburu
Menurutnya, penderaan seks dalam talian ini memberi makna penggunaan imej seksual kanak-kanak bagi memeras ugut agar kanak-kanak menghantar lebih banyak foto atau video, meminta wang atau melakukan hubungan seks.
Mereka yang disabitkan dengan kesalahan ini boleh dikenakan penjara selama 10 tahun.
Dalam kenyataan yang sama, pihaknya juga ada mencadangkan untuk meminda istilah pornografi kanak-kanak kepada penderaan seksual kanak-kanak.
Selain daripada itu, bagi kesalahan penstriman seks secara langsung pula membawa takrifan mereka yang mengambil bahagian secara langsung, menganjurkan, mempromosi, mengarahkan penyalahgunaan, menerima wang serta sebarang perkara yang berkaitan dengannya.
Mereka yang disabitkan dengan kesalahan ini pula akan dikenakan tindakan penjara 20 tahun atau denda sebanyak RM50,000.
Beliau yang menjawab kepada soalan menteri di Dewan Rakyat semalam memberitahu terdapat sebanyak 5,519 kes telah dilaporkan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) di antara 2018 hingga Januari tahun ini.