Dua Jenama Mi Segera Diarah Tarik Balik, Mengandungi Bahan Berbahaya
PUTRAJAYA, 27 April 2023 – Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan dua jenama mi segera keluaran Malaysia dan Indonesia ditarik balik pengeluarannya susulan isu pencemaran ethylene oxide dalam produk mi segera berkenaan seperti yang dilaporkan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Taiwan.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh kementerian itu, bagi sampel Mi Kari Putih Penang Ah Lai, persampelan di Malaysia mendapati ia mematuhi perundangan.
BACA JUGA: Al-Quran Ditemui Dalam Dasar Laut, Masih Boleh Dibaca
BACA JUGA: Duta AS Harap Pasukan Malaysia Sertai Piala Dunia 2026
BACA JUGA: Spesies Marlin Biru ‘Rare’ Ditemui Di Taman Tunku Abdul Rahman, Sabah
“Meskipun begitu, bagi memastikan kawalan keselamatan makanan yang berterusan, KKM telah mengarahkan pihak syarikat untuk membuat penarikan balik secara sukarela produk Mi Kari Putih Penang Ah Lai bagi batch yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran Malaysia.”
Mengenai produk Indomie Perisa Ayam Spesial pula, semakan data dari Food Safety Information System of Malaysia mengesahkan terdapat kemasukan produk mi segera keluaran Indonesia itu ke negara ini.
Oleh itu, KKM telah mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Lepas bagi produk Mi Segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial di semua pintu masuk negara dan meminta pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk terlibat dari pasaran.
Sementara itu, mengenai isu penarikan semula produk Mi Sedaap keluaran Indonesia mengandungi ethylene oxide pada 2022, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan keselamatan makanan berterusan ke atas produk makanan berkaitan yang dijual di pasaran tempatan mahupun diimport.
“Hasil pemantauan dari 2022 sehingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan, 11 sampel produk Mi Sedaap didapati mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan telah diambil termasuk kompaun, tindakan mahkamah dan penarikan balik produk dari pasaran.”
Menurut kementerian itu, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat jika ada sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu berkaitan.
“Selain itu pengguna boleh menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Taipei dalam kenyataan menyebut dua jenama mi segera dari Malaysia dan Indonesia dikesan mengandungi bahan yang mendorong penyakit kanser.
Jabatan itu mendapati mi segera berjenama ‘Ah Lai White Curry Noodles’ dari Malaysia dan satu lagi ‘Indomie: Special Chicken Flavour’ buatan Indonesia, mengandungi etilena oksida yang juga sebatian kimia dikaitkan dengan penyakit limfoma dan leukemia.
Jabatan itu berkata, ujian dijalankan mengesan etilena oksida dalam kedua-dua mi dan peket perencah produk Malaysia terbabit, manakala produk Indonesia berkenaan pula hanya terkandung dalam peket perencah.
Ethylene oxide merupakan sebatian gas kimia yang karsinogenik dan sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.
Ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.