NGO

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kesal Dengan Tindakan Petronas

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA (DPMM) KESAL DENGAN TINDAKAN PETRONAS

1. Belum sempat seminggu Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) melabuhkan tirainya, kami telah menerima berita yang kurang enak yakni PETRONAS/anak syarikatnya telah pun melantik syarikat bukan bumiputera iaitu Solarvest Energy bagi pemasangan sistem solar di 300 stesen minyaknya.

2. Adakah ini isyarat yang hendak dibawa oleh PETRONAS selepas komitmen yang diutarakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya semasa Diskusi MADANI 3 di KEB 2024 yang membincangkan tentang penciptaan peluang bumiputera dalam peralihan tenaga yang turut dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri 2 merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.

3. Lebih mengecewakan lagi apabila DPMM difahamkan bahawa PETRONAS hanya memanggil tiga syarikat untuk membuat tawaran tersebut tanpa mengundang mana-mana syarikat bumiputera untuk turut serta. Malah kos yang ditetapkan bagi setiap stesen minyak ini adalah kira-kira RM1 juta bagi setiap satu projek yang menjadikan nilai keseluruhan projek ini sebanyak RM300 juta.

4. Keputusan dan tindakan ini jelas menunjukkan bahawa sikap PETRONAS tidak ubah seperti menanam tebu di tepi bibir apabila mereka bersikap tidak acuh kepada syarikat bumiputera yang mempunyai keupayaan untuk menjalankan projek sebesar ini meskipun PETRONAS telah menaburkan komitmen mereka untuk terus konsisten memperjuangkan agenda bumiputera dengan melibatkan syarikat-syarikat Bumiputera dalam sektor peralihan tenaga ini.

5. Umum mengetahui bahawa 30% daripada senarai syarikat bertaraf EPC di negara ini adalah milik bumiputera dan jika termasuk dengan senarai yang berada di SEDA jumlahnya kira-kira sebanyak 60 syarikat bumiputera. Oleh yang demikian, PETRONAS sepatutnya memberikan peluang dan ruang kepada syarikat bumiputera untuk terlibat dengan projek ini sebagai salah satu inisiatif kepada syarikat Bumiputera dalam projek peralihan tenaga oleh PETRONAS seperti yang mereka bincangkan di diskusi MADANI 3.

6. PETRONAS sebagai syarikat milik kerajaan sepenuhnya sepatutnya bersikap lebih wajar dalam mengangkat agenda Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi seperti yang dilaungkan mereka agar seiring dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan inisiatif pengeluaran serta peralihan tenaga dalam jangka waktu terdekat.

7. Syarikat bumiputera yang terlibat dalam industri ini bukanlah meminta untuk mengambil alih kesemua projek, tetapi sekurang-kurangnya PETRONAS perlulah bersikap lebih adil untuk turut melibatkan syarikat-syarikat bumiputera daripada hanya memanggil 3 syarikat sahaja. Inilah masanya, kerajaan melalui PETRONAS sepatutnya memberikan peluang dan ruang kepada syarikat bumiputera yang mempunyai kemahiran serta kepakaran dalam industri penjanaan tenaga suria untuk turut terlibat dalam projek ini.

8. Menidakkan peluang dan ruang kepada syarikat Bumiputera pada ketika ini adalah ibarat mengiakan sindiran sinis dan kecaman bahawa KEB hanya setakat bersidang, hasilnya ibarat tin kosong dan sekadar retorik yang dibawa oleh kerajaan MADANI kepada orang Melayu dan Bumiputera. PETRONAS sendiri dibangunkan hasil daripada sokongan yang diberikan oleh modal insan Bumiputera dan vendor Bumiputra selama ini. Makanya amat mengecewakan apabila terdapat segelintir warga PETRONAS yang gagal dan lalai untuk mengambil berat terhadap agenda memperkasa ekonomi bumiputera sekaligus mengesahkan KEB 2024 tidak lebih satu wayang retorik.

9. KEB65 dan DEB71 sebenarnya telah melahirkan ramai pemilik dan warga Melayu dan Bumiputera yang mempunyai kepakaran dan ramai daripada mereka telah pun mengislahkan perniagaan mereka. Namun, amat malang sekali, masih ada juga di kalangan pemimpin dan penjawat yang masih dibelenggu dengan naratif penjajah dan parasit Bumiputra pada waktu ini.

10.Tidak cukupkah, syarikat Bumiputera dikesampingkan dan dianak-tirikan dalam ekonomi Malaysia selama 100 tahun oleh tangan-tangan ghaib malahan keadaan tersebut berterusan sehingga ke hari ini apabila kerajaan Madani membawa agenda reformasi struktural atas nama Agenda Bumiputera. Ini adalah satu persoalan besar yang perlu dijawab. Dari kaca mata DPMM, kami sedang melihat, merasai dan menjiwai setiap bait yang diungkapkan dan mencerap sama ada KEB2024 hanyalah laungan yang sedang diterjemahkan dalam bentuk tindakan langsung atau hanya lantunan suara untuk meraih sokongan bumiputera.

11.Reformasi Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 perlukan iltizam dan tindakan yang berterusan dan berani membuat keputusan yang akan menguntungkan bangsanya. Muafakat tindakan perlu dilaksanakan segera, kerana masa dan ruang sedia ada amat terhad dan semakin menguncup. Laba yang hendak raih turut sama akan dirasai oleh segenap lapisan masyarakat yang ada di Malaysia ini.

Sekian, terima kasih.

Encik Norsyahrin bin Hamidon
PRESIDEN 

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: