Denda RM5,000 Jika Gagal Laporkan Penderaan Seksual Kanak-Kanak
PUTRAJAYA, 24 Oktober 2023 – Mereka yang gagal melaporkan penderaan seksual terhadap kanak-kanak biarpun menyedari akan hal itu bakal berdepan denda RM5,000, menurut Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Dato’ Sri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, “Kami bimbang ramai orang yang menyedari penderaan dalam sekolah, keluarga atau kawasan kejiranan tetapi tidak melaporkannya.”
“Seksyen 19 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 mengatakan bahawa jika anda menyedari kejadian sedemikian dan tidak melaporkannya, ia merupakan satu kesalahan.”
Jika seseorang itu didapati bersalah, dia boleh didenda maksimum RM5,000, katanya lagi seperti yang dilaporkan sebuah berita tempatan.
Tambah beliau, penderaan seksual terhadap kanak-kanak bukan sahaja melibatkan mangsa atau kanak-kanak lain, tetapi ia melibatkan keseluruhan masyarakat.
Sehubungan itu, ia menjadi tanggungjawab bersama bagi semua pihak dan bukan hanya melibatkan ahli keluarga.
Dalam laporan yang sama, Azalina turut memaklumkan bahawa beliau akan bertemu dengan pesuruhjaya kanak-kanak bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.