Darurat : Jangan Ada Seruan Menyerang Integriti YDPA – Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi
Polemik perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masih tidak reda sehingga ke hari ini.
Isu ini dipanaskan lagi dengan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memfailkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat.
Wartawan Samudera.my berkesempatan menemuramah Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain bagi mendapatkan penjelasan isu perisytiharan darurat.
Wartawan Samudera.my (WSM): Sejauh mana kebalnya perisytiharan darurat terhadap sebarang tindakan mahkamah sebagaimana yang ditetapkan di bawah Perkara 150 (8) b?
Datuk Wan Ahmad Fauzi: Apabila YDPA berpuas hati tentang wujudnya keadaan-keadaan di bawah Perkara 150(1), iaitu darurat besar yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan, atau mana-mana bahagiannya terancam, atau ancaman darurat besar itu hampir benar akan berlaku maka proklamasi darurat tidak boleh dicabar di mahkamah. Perkara 150(8)(b) menghadkan bidang kuasa Mahkamah untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan mengenai proklamasi itu termasuklah mana-mana ordinannya.
WSM: Terdapat beberapa pihak, untuk mengelakkan sentimen mereka disifatkan sebagai menentang proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan kekangan Perkara 150 (8) B, mereka membuat tindakan mahkamah menggunakan dakwaan, nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri (PM) untuk mengisytiharkan darurat itu tidak sah. Boleh Datuk jelaskan apa parameter dalam Perlembagaan yang memberi punca kuasa kepada PM untuk memberi nasihat dan apa pula parameter di dalam Perlembagaan yang menentusahkan sesuatu nasihat dari Perdana Menteri?
Datuk Wan Ahmad Fauzi: Perkara 40(1A) tidak terpakai ke atas Perkara 150 kerana “puas hati” di bawah peruntukan tersebut menunjukkan prerogatif atau budi bicara yang terjumlah dalam Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.
Nasihat Jemaah Menteri termasuklah PM hanya menyentuh peruntukan umum Perlembagaan sahaja dalam aspek fungsi kuasa eksekutif selain daripada apa yang dinyatakan di bawah Perkara 40(2), Perkara 181(1) dan lain-lain peruntukan yang mengekalkan prerogatif baginda. Dalam pada itu, nasihat Jemaah Menteri dan PM adalah tertakluk pada undang-undang Perlembagaan, dan hendaklah nasihat yang sah di sudut undang-undang Negara. Jika sekiranya suatu nasihat di bawah Perkara 40(1) bercanggah dengan sumpah jawatan YDPA dan undang-undang, maka itu tidak mengikat baginda untuk bertindak sedemikian.
Dalam konteks Perkara 150, tidak wajar isu PM memberi nasihat yang tidak sah kepada YDPA dibangkitkan kerana baginda seperti Kenyataan Media Istana Negara telah merundingi banyak pihak selain Jemaah Menteri, malah YDPA pernah menolak permintaan Jemaah Menteri buat pertama kali. Itu menunjukkan YDPA meletakkan kesejahteraan rakyat dan negara sebagai keutamaan, bukannya terpengaruh dengan kepentingan kepartian mana-mana pihak.
WSM: Apakah tindakan-tindakan seperti ini dibenarkan di bawah undang-undang? Jika dibenarkan, di mana punca kuasanya? Jika tidak dibenarkan, apakah tindakan seperti ini boleh dikenakan tindakan undang-undang?
Datuk Wan Ahmad Fauzi: YDPA diberi jaminan oleh peruntukan Perkara 40(1) untuk mendapatkan penjelasan dan maklumat yang Jemaah Menteri boleh akses. Itu menunjukkan YDPA boleh menimbangkan sama ada suatu nasihat itu sah di sisi undang-undang.
Jika baginda berpandangan suatu nasihat itu bercanggah dengan peruntukan undang-undang, atau suatu perkara itu terjumlah dalam prerogatif baginda, maka baginda boleh berunding dengan PM dan Jemaah Menteri untuk mencapai satu keputusan yang lebih wajar di sisi undang-undang.
Satu perkara yang perlu dinyatakan, bukan sahaja YDPA terikat dengan sumpah jawatan baginda, malah mereka yang melaksanakan fungsi kuasa eksekutif baginda juga terikat sama untuk menjunjung lafaz sumpah tersebut.
Justeru, isu sama ada dibenar atau tidak dibenar YDPA melaksanakan budi bicara tanpa tertakluk pada nasihat pihak Eksekutif adalah bergantung pada peruntukan Perlembagaan, termasuklah prinsip kedaulatan seperti termaktub dalam Perkara 181(1) yang dibaca bersama-sama dengan sumpah YDPA.
Kita tidak boleh mengabaikan bahawa punca kuasa fungsi eksekutif Jemaah Menteri datangnya dari YDPA seperti termaktub dalam Perkara 39.
WSM: Bagaimana pula dengan kenyataan sesetengah pihak yang menyatakan proklamasi darurat dan ordinan darurat yang diumumkan baru-baru ini perlu disahkan melalui perbahasan dan diluluskan di kedua-dua Majlis Parlimen sepertimana dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan?
Datuk Wan Ahmad Fauzi: Proklamasi dan ordinan darurat boleh dibentangkan kemudian apabila dua-dua Majlis Parlimen bersidang nanti. Perkara 150(3) tidak membataskan kuasa YDPA di bawah peruntukan 150(1) untuk membuat proklamasi darurat tanpa dibentang terlebih dahulu di Parlimen dan di bawah Fasal (2B) untuk memasyhurkan ordinan. Malah Fasal (2A) membolehkan baginda mengeluarkan proklamasi-proklamasi berlainan menurut Fasal (1).
Perkara 150(3) secara nyata menjamin kuasa YDPA untuk mengeluarkan proklamasi di bawah Perkara 150(1) dan (2A).
WSM: Untuk mengatasi masalah kemelut yang berlangsung ini, terdapat pihak yang mencadangkan supaya YDPA menggunakan Peruntukan Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan, meminta mahkamah menentusahkan tindakan proklamasi darurat yang diisytiharkan baginda sebelum ini. Apa pandangan Datuk tentang perkara ini?
Datuk Wan Ahmad Fauzi: Tiada sebab bagi YDPA untuk membuat rujukan kepada Mahkamah di bawah Perkara 130 kerana PM dan Jemaah Menteri sendiri akur dengan prerogatif YDPA di bawah Perkara 150(1). Tiada konflik antara YDPA dengan Jemaah Menteri baginda.
Kita perlu fahami bahawa Perlembagaan Persekutuan memperisai YDPA dengan kuasa prerogatif yang cukup nyata di bawah Perkara 150, maka tiada keperluan rujukan dibuat di bawah Perkara 130. Mahkamah mempunyai fungsi dan bidang kuasa tertentu di sisi undang-undang. YDPA tidak perlu mendapatkan nasihat Mahkamah bagaimana baginda hendak melaksanakan prerogatif.
Perkara 130 ialah menyentuh soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang telah berbangkit atau yang tampak pada baginda mungkin berbangkit.
Dalam kes yang melibatkan isu keabsahan proklamasi darurat, Perkara 150(8) sudah memberi jawapan yang tuntas.
WSM: Apakah darurat mempunyai had-had masa tertentu?
Datuk Wan Ahmad Fauzi: Had waktu itu bergantung pada budi bicara YDPA atau melalui rundingan dengan Parlimen melainkan baginda menentukan sebaliknya seperti termaktub dalam Ordinan Darurat 2021. Ordinan tersebut menubuhkan Jawatankuasa Khas Bebas. Jawatankuasa ini akan menyampaikan nasihat kepada baginda tempoh darurat yang sesuai berdasarkan keperluannya. Pada amalan biasa, resolusi boleh dibuat di Parlimen untuk mengungkaikan suatu proklamasi atau ordinan darurat.
WSM: Apakah Datuk mempunyai nasihat atau cadangan dalam bentuk pemulihan yang boleh membantu kemelut ini diselesaikan dengan baik?
Datuk Wan Ahmad Fauzi: PM boleh menyampaikan nasihat kepada YDPA di bawah Perkara 55 untuk memanggil sidang Parlimen mengikut kaedah yang diperuntukkan di bawah Per kara 150(9).
Bahkan pihak-pihak berwibawa seperti Majlis Raja-Raja mahupun, Majlis Keselamatan Negara, Peguam Negara malah Jemaah Menteri sendiri boleh menyampaikan pandangan dan cadangan bagi penggubalan ordinan untuk menentukan tatacara Parlimen yang sesuai semasa darurat.
Isu yang ditimbulkan ialah kerana dikatakan Parlimen tidak akan dipanggil bersidang sehingga 1 Ogos 2021.
Saya berpendapat PM boleh menasihati YDPA untuk memanggil sidang Parlimen untuk membahaskan isu-isu penting ketika ini, khususnya bagaimana menangani penularan wabak Covid-19 dan kaedah-kaedah untuk memulihkan ekonomi negara.
Sewajarnya semua pihak akur bahawa YDPA memperkenankan darurat untuk membolehkan langkah-langkah wajar diambil untuk menangani isu-isu yang perlu diberi keutamaan buat masa sekarang. Darurat tidak wajar dijadikan isu kerana negara kita pernah berada dalam tempoh darurat dari 15 Mei 1969 hingga Disember 2011.
Pihak yang bertelingkah atau tidak berpuas hati sewajarnya menjelaskan isu secara spesifik bukan mempertikaikan proklamasi darurat diisytiharkan oleh YDPA.
Saya menyeru semua pihak agar patuh kepada nasihat YDPA seperti kenyataan media Istana Negara.
Saya juga berharap jangan ada seruan yang cuba menyerang integriti YDPA dan Institusi YDPA oleh kerana baginda memperkenankan permintaan yang pada hemat baginda itu lebih baik buat kesejahteraan rakyat dan negara.