Dakwa Salah Laku Perdana Menteri, Idris Ahmad Sokong Cadangan Perundangan Wan Junaidi
KUALA LUMPUR, 18 Julai 2023 – Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menyokong cadangan perundangan yang dikemukakan oleh Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung dakwaan bagi salah laku Perdana Menteri.
Menurut laporan, Dr Wan Junaidi telah mencadangkan penggubalan undang-undang yang membolehkan Perdana Menteri didakwa dan dipecat atas salah laku.
Ujarnya, cadangan itu merupakan satu pembaharuan yang perlu dikaji dan diambil perhatian pihak berkaitan. Dengan adanya perundangan tersebut, ia bermaksud kepada kehendak supaya Perdana Menteri memiliki integriti kerana beliau juga lambang demokrasi dan mewakili eksekutif tertinggi negara.
BACA JUGA: Pencerobohan Haram Tanah Raub Menjadi-Jadi, Orang Kampung Bakal Melopong
BACA JUGA: Pemanasan Global: Cuaca Malaysia Bercelaru
BACA JUGA: KDN Rampas Bahan Al-Quran, Peranti Elektronik Bernilai Hampir RM62,000
Dalam pada itu, kata Idris Ahmad, “Ini juga seboleh mungkin memastikan tiada tindakan yang menjurus penyalahgunaan kuasa apabila menjadi Perdana Menteri. Jangan boleh buat apa saja dan menggunakan kekebalan yang wujud.”
“Jadi ini mendatangkan kemudaratan kepada negara dan dari segi kesucian demokrasi itu sendiri. Maka dengan sebab itu kita mengharapkan cadangkan itu boleh dikaji dan diambil kira satu pandangan yang baik,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Dr Wan Junaidi memaklumkan dalam sebuah majlis, ketika ini negara kita tidak mempunyai undang-undang tersebut bahkan beliau menggalakkan agar ia diperkenalkan di Malaysia.