Cuaca Panas: Penduduk Kelantan Masih Bergelut Dengan Kemarau Luar Biasa
KOTA BHARU, 05 Jun 2024 – Bahang cuaca panas masih dirasai penduduk di negeri ini walaupun beberapa kawasan mula menerima hujan pada sebelah petang dan malam sejak pertengahan bulan lalu.
Tinjauan mendapati beberapa kawasan sawah padi masih kering susulan cuaca panas tersebut sekaligus memberikan kesan kepada tanaman padi.
Cuaca kering itu juga menyebabkan ramai penduduk menggali telaga tiub bagi mendapatkan bekalan air mencukupi.
Kemarau yang dianggap ‘luar biasa’ oleh penduduk Kelantan itu turut meresahkan golongan pekebun kelapa di Pasir Mas apabila tumbesaran lebih 500 pokok tanaman daripada jenis pandan dan tacunan terbantut.
Penduduk setempat, Ariffin Awang Chik, 63, berkata, situasi tersebut menyebabkan pokok kelapa tidak berbuah selepas mayangnya kering serta pelepah patah kerana terlalu panas.
“Pokok kelapa itu disiram setiap hari menggunakan air telaga. Tetapi disebabkan kemarau panjang, tiga telaga turut kering.”
“Walaupun ada telaga tiub tetapi tidak cukup kerana kawasan tanaman berkeluasan dua hektar,” katanya.
Bagi Rusli Che Kecik, 55, pula, disebabkan semua telaga kering dia terpaksa menggali telaga sedalam 6.75 meter untuk mendapatkan air.
Katanya, masalah telaga kering berlaku sejak Januari lagi menyebabkan dia terpaksa menggali telaga ‘gergasi’.
Dalam pada itu, Rashid Ismail dari Shah Alam yang pulang bercuti di Tanah Merah ketika ini berkata, cuaca di kampungnya terlalu panas dan ini kali pertama dia merasa tidak tahan.
Katanya, tiga anaknya sepanjang hari terpaksa menghidupkan setiap seorang satu kipas.
“Kami tidak tahu bagaimana dalam kampung boleh terasa bahang sebegini,” katanya.
Sementara itu, mengikut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sepanjang Januari hingga 25 Mei lalu mendedahkan kes kebakaran terbuka di negeri ini meningkat kepada 1,544 berbanding 814 pada tahun sebelumnya untuk tempoh yang sama.
Daripada jumlah tersebut, kebakaran belukar merekodkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 1,240 kes diikuti sampah (139), hutan (119), kebun dan ladang (36) serta hutan tanah gambut (10).
Kelmarin Gua Musang satu-satunya daerah di Semenanjung yang berada pada Tahap 2 (Gelombang Haba) iaitu suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 Celcius untuk tiga hari berturut-turut. Bacaan suhu di negeri ini kembali normal ketika ini iaitu dalam lingkungan 31 hingga 32 darjah Celcius.