COVID-19: Kes Di China Melonjak Naik, KKM Laksana 6 Langkah Kesiapsiagaan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 27 Disember 2022 – Susulan kebimbangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap perkembangan semasa di China, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggariskan enam langkah bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian COVID-19.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah-langkah yang digariskan sama seperti yang pernah dialami semasa varian Delta melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.
Langkah pertama, meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan, jangkitan serius serta kematian.
Langkah kedua, mengukuhkan pengurusan COVID-19 melalui pendigitalan pengurusan kesihatan melalui penambahbaikan pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support) yang diautomasikan melalui aplikasi MySejahtera.
Langkah ketiga, memastikan semua Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang beroperasi secara fizikal di Klinik Kesihatan dan komuniti mahupun secara maya bersedia untuk menerima kedatangan atau panggilan pesakit yang tinggi untuk membuat penilaian terhadap pesakit yang disahkan positif jangkitan.
Langkah keempat, memperkenalkan ubat antiviral Paxlovid® (nirmatrelvir/ritonavir) melalui COVID-19 Clinical Care Pathway sejak 15 April lalu dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan, CAC dan hospital KKM sebelum diperluaskan kepada swasta pada 20 Jun lalu.
“Keutamaan pemberian rawatan Paxlovid® (nirmatrelvir/ritonavir) adalah kepada kumpulan pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi.”
Langkah kelima, memantau rapi penularan jangkitan COVID-19 dalam masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti survelan melibatkan lokasi sentinel influenza-like illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) di seluruh negara.
“Ia turut disokong dengan aktiviti penjujukan genom menyeluruh (whole genome sequencing, WGS) bagi mengesan varian baharu serta aktiviti survelan persekitaran melalui persampelan air kumbahan dari lokasi persampelan yang dikenal pasti di seluruh negara.”
Langkah keenam, menggerakkan inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sejak awal tahun ini di semua peringkat yang bertujuan memperkasa kawalan kendiri kesihatan merangkumi pemerkasaan individu dalam mengambil tindakan pencegahan penyakit, menilai status kesihatan diri, memastikan kepatuhan rawatan dan mengamalkan norma baharu iaitu penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan pemakaian pelitup muka.
“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO.”
Tegasnya, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.