“CIJ Dedah 5 PM ‘Jaga’ Sekolah Vernakular”– Cikgu Izzat Johari
KUALA LUMPUR, 27 Mei 2023 – Bekas guru yang pernah mengajar di SMJKC, Cikgu Izzat Johari, mendedahkan berhubung keterkaitan 5 Perdana Menteri yang terlibat menjaga Sekolah Vernakular sehingga berjaya memperoleh dana jutaan ringgit secara konsisten setiap tahun walaupun mereka secara lantang dan terbuka tidak menghormati kedudukan bahasa kebangsaan negara ini.
Persoalannya, siapakah mereka yang dimaksudkan Cikgu Izzat Johari tentang 5 Perdana Menteri yang didakwa menjadi penjaga dan memelihara kepentingan Sekolah Vernakular sejak dahulu sehingga ia kebal undang-undang?
Jelas Cikgu Izzat Johari, untuk makluman semua, seperti yang kita sedia maklum, mungkin semasa pentadbiran Kerajaan yang lama iaitu Barisan Nasional, kita tidak dapat melihat pendirian dari parti pembangkang sebagaimana parti PH. Sebaliknya, kita hanya dengar nama BN sahaja. Jadi Kerajaan BN melalui Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak memang menyokong, menjaga dan memberi dana yang sangat besar kepada Sekolah Vernakular sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri ketika itu.
Selepas jatuhnya Kerajaan BN, PH melalui beberapa pakatan kita dapat lihat ketika itu Perdana Menteri seterusnya Tun Mahathir Mohamed turut memberikan dana kepada Sekolah Vernakular menerusi Menteri Pendidikannya.
Kemudian, apabila jatuh Kerajaan PH yang pertama naik pula Kerajaan Campuran juga turut memberikan dana yang besar kepada Sekolah Vernakular iaitu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kemudian Perdana Menteri Ismail Sabri pun sama dan akhirnya apabila PH naik semula yang terkini kita dapat lihat secara jelas Kerajaan PH turut memberikan dana kepada Sekolah Vernakular. Ini bermakna kesemua ahli parti politik yang ada di dalam Malaysia ini terikat menjaga Sekolah Vernakular. Sedangkan, sekolah ini adalah sekolah yang menentang bahasa kebangsaan dan juga tulisan Jawi.
Ditanya, benarkah Sekolah Vernakular merupakan aspirasi dari nenek moyang kita seperti yang didakwa mantan PM Najib Razak dalam kenyataannya yang disiarkan pada 15 Oktober 2015 oleh Berita Harian bertajuk “Kerajaan Tidak Akan Tutup Sekolah Vernakular”?
Cikgu Izzat Johari berkata, untuk makluman, Sekolah Vernakular ini tidak ada pun dalam Perlembagaan Persekutuan, jadi sekolah ini rupa-rupanya bersifat sekolah swasta yang mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia. Walau bagaimanapun, ia tidaklah melayakkan Sekolah Vernakular ini untuk menerima dana yang begitu besar dan berterusan secara konsisten setiap tahun.
Tegas aktivis itu, apabila dikatakan sekolah ini adalah aspirasi daripada nenek moyang mungkin ianya betul tetapi perkara itu tidak menjadikan alasan kukuh untuk Kerajaan Malaysia menanggung sepenuhnya Sekolah Vernakular ini.
Sekolah Vernakular Sebagai Aset Memancing Undi
Menurut laporan media, Teo Nie Ching pada 11 November 2019 menggesa semua pihak berhenti mencabar kedudukan Sekolah Vernakular dengan mendakwa kewujudan Sekolah Vernakular sepatutnya menjadi aset penting kepada negara dan sebaliknya perlu dipertahankan oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan etnik. Sejauh mana kebenaran dakwaan bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu?
CIJ yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia berkata, sebenarnya Sekolah Vernakular hanya dijadikan sebagai aset memancing undi bangsa-bangsa lain oleh pemimpin parti politik.
Jelasnya, kita tidak mencabar satu-satu perkara jika ianya tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Namun, apabila kita mendapati bahawa Sekolah Vernakular ini sebenarnya tidak terikat atau tertakluk kepada Akta Pendidikan dan juga Perlembagaan Persekutuan bermakna ianya bukan Sekolah Kerajaan seperti keputusan Mahkamah.
“Barisan peguam NGO kita mencabar perlaksanaan Sekolah Vernakular ini yang membelakangkan atau menolak bahasa kebangsaan dan rupa-rupanya mereka berhak kerana mereka bukan badan awam,” ujarnya.
Sekolah Vernakular Adalah Cerminan Kepada Kemunduran Sekolah Kerajaan
Jadi, apabila diklasifikasikan sebagai satu aset penting yang perlu dipertahankan sebenarnya di sini saya ingin menegaskan bahawa Sekolah Vernakular ini adalah cerminan kepada kemunduran Sekolah Kerajaan.
Maknanya, Kerajaan Malaysia sepatutnya mengangkat Sekolah Kebangsaan secara penuh seratus peratus, baik dari segi kelengkapan dan segala-galanya, tetapi bajet berkenaan tidak disalurkan dengan betul dan diberikan pula kepada Sekolah Vernakular.
“Kita pernah dengar Sekolah Vernakular ada aircond dalam bilik kelasnya walaupun sepatutnya aircond itu perlu terlebih dahulu berada di dalam bilik darjah Sekolah Kebangsaan yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan. Tetapi kenapa Sekolah Kebangsaan tiada kemudahan ini sebaliknya Sekolah Vernakular ada?”
Ahli Politik Menjadikan Sekolah Vernakular Ini Sebagai Rasuah Politik
Tegasnya, Kerajaan Malaysia sepatutnya menaik taraf Sekolah-Sekolah Kebangsaan, Sekolah-Sekolah Kerajaan dan sekolah-sekolah yang diberikan percuma kepada rakyat tetapi malangnya kerajaan-kerajaan yang ditadbir oleh parti-parti politik ini telah menggunakan Sekolah Vernakular sebagai aset rasuah untuk kononnya memancing undi bangsa-bangsa lain tetapi sebenarnya mereka menjadikan Sekolah Vernakular ini sebagai rasuah politik.
Justeru, saya harap perkara ini tidak patut terus berlaku dan Kerajaan Malaysia perlu perbaiki semula ketirisan ini.
Persoalan yang timbul adalah, kenapa sekarang baru kita menggesa? Jawapannya adalah kerana telah lengkap semua parti gabungan daripada dulu sampai sekarang secara keseluruhannya jelas mereka membelakangkan Perlembagaan Persekutuan.
Maka, itu jawapan jika Kerajaan PH hari ini katakan kenapa sekarang baru kita nak bising?
“Malangnya, sehingga kini tidak ada mana-mana Kerajaan yang cuba membetulkan perkara ini. Rakyat Malaysia perlu jelas, bukan kita nak hentam Kerajaan PH semata-mata bahkan, Kerajaan BN pun sama, Kerajaan PN pun sama sahaja. Mereka ini kebanyakannya adalah perasuah politik terbesar dalam Malaysia menggunakan Pendidikan,” kata beliau.
Terdahulu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed, dalam penghakimannya memutuskan Mahkamah Persekutuan bukan pentas untuk pemohon mencabar kewujudan Sekolah Vernakular seperti yang dilaporkan BH pada 11 November 2019.
Persoalannya, kalau bukan di Mahkamah, di manakah tempat terpaling sesuai, adakah Parlimen?
Terbukti Sekolah Vernakular Bukan Sekolah Kerajaan
CIJ menegaskan, rentetan daripada kes di Mahkamah apabila barisan peguam kita mencabar Sekolah Vernakular yang membelakangkan ataupun menolak bahasa kebangsaan ini terbongkar apabila barisan peguam ini kalah kerana tuntutan yang dibuat ini adalah tidak berasas apabila terbukti Sekolah Vernakular ini rupanya adalah bukan Sekolah Kerajaan.
“Jika mereka Sekolah Kerajaan mereka wajib patuh kepada Perlembagaan Persekutuan untuk jadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama malangnya rupa-rupanya Sekolah Vernakular ini bukan Sekolah Kerajaan jadi mereka berhak untuk menolak bahasa kebangsaan dan memakai bahasa ibunda mereka di sekolah tersebut,” ujarnya.
Bagaimanapun, apabila Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed memutuskan Mahkamah Persekutuan bukan pentas untuk mencabar Sekolah Vernakular ini sebenarnya kita rasa satu kepelikan kerana ke mana lagi tempat rakyat Malaysia yang mahu menuntut kebenaran. Kalau tak boleh di mahkamah takkan di Parlimen?” soalnya.
CIJ berkata, kalau di Parlimen ini kita dah tahu dah bahawa kesemua blok parti politik, mereka menggunakan Sekolah Vernakular ini sebagai rasuah politik kerana mereka semua terlibat.
Jadi, kita berharap akan wujud mana-mana blok baharu yang ingin menegakkan Perlembagaan kembali. Sekali gus, kita nak pastikan rakyat Malaysia daripada bangsa Melayu menerima balik hak dan keistimewaan mereka dan bangsa-bangsa lain juga dijaga hak mereka. Ini yang kita nak sebenarnya.
Maka, saya harap barisan-barisan peguam kita terus berjuang dan kita sentiasa menyokong kerana ini adalah memperbetulkan keadaan Perlembagaan Persekutuan kita yang sepatutnya ditegakkan bukannya dibelakangkan.
Ditanya, benarkah seperti yang didakwa Kerajaan PN juga merupakan payung besar kepada Sekolah Vernakular apabila ada pihak mendakwa Muhyiddin sendiri pertahan Sekolah Vernakular selagi ada bulan bintang dan tidak berniat menutupnya?
Sekolah Vernakular Mencipta Rasuah Politik Terbesar
CIJ berkata, sebenarnya perkara ini memang kita tahu Tan Sri Muhyiddin Yassin ini antara salah seorang ahli politik yang hipokrit yang mana beliau memang tidak langsung mementingkan pendidikan.
“Pernah ketika kes isu PMR dimansuhkan, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) projek 1BestariNet yang disahkan gagal oleh Audit Negara 2018 ini melibatkan zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana beliau tidak peduli pun.”
“Malah, saya adalah salah seorang mangsa yang terkorban, dibuang oleh beliau kerana saya lantang menegakkan kebenaran bahawa proses ataupun ketika itu pendidikan negara sangat tenat dan akhirnya beliau mengakui dan menghentikan pelaksanaan PBS, digantikan nama lain tetapi saya tetap dibuang kerja.”
“Inilah mangsa politik yang rakus malah apabila kita mengatakan kebenaran mereka tidak boleh terima dan mereka kata benda-benda begini sepatutnya perlu disingkirkan, jadi saya disingkirkan,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang masih lagi berperanan untuk menjaga Sekolah Vernakular. Jadi blok-blok parti politik ini kesemuanya adalah menjaga Sekolah Vernakular yang mencipta rasuah politik terbesar yang menentang Perlembagaan Persekutuan.
Jadi, bagaimana kita nak meyakinkan diri kita untuk menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyidin Yassin untuk menolak Kerajaan yang sedia ada sekarang sebaliknya mereka pun sama saja.
“Sekarang mana blok-blok yang boleh menyakinkan kita sebagai rakyat Malaysia untuk memperbetulkan semula perkara ini berlandaskan Perlembagaan Persekutuan?” soal beliau.
Maka, kalau ada pihak mengatakan konon-kononnya nak ambil yang kurang risiko, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sendiri adalah berisiko besar, belot dengan orang Melayu. Jadi saya harap perkara ini diperbetulkan balik jangan terlalu taksub dengan kepartian, ini nasihat saya.
Integriti Kerajaan Perpaduan Cuma Terletak Pada Menteri Pendidikan, Kementerian Lain, Wallahua’lam
Turut ditanya, apa pandangan CIJ tentang pendirian Kerajaan Perpaduan dalam isu Vernakular?
CIJ berkata, saya masih lagi yakin jika benar-benar Kerajaan Perpaduan ini ingin membetulkan keadaan. Saya yakin dengan fungsi Menteri Pendidikan sekarang kerana beliau tidak terlibat walaupun di bawah pentadbiran beliau sebagai Menteri Pendidikan, yang memohon dana untuk Sekolah Vernakular adalah Menteri Pengangkutan. Kemudian, yang meluluskan adalah Menteri Kewangan.
Jelas, Menteri Pendidikan ini tidak terlibat. Saya yakin, kerana Menteri Pendidikan adalah seorang peguam yang berintegriti dan beliau tahu bahawa dalam Perlembagaan Persekutuan tidak ada klausa, tidak ada penyataan bahawa Sekolah Vernakular ini layak untuk dibantu ia hanya bergantung kepada Akta Pendidikan itupun tak ada ketetapan untuk membantu Sekolah Vernakular.
Jadi, saya berharap Menteri Pendidikan yang ada ini boleh memainkan peranan perbetulkan balik keadaan. Walau bagaimanapun, saya masih menaruh harapan yang sangat tipis kerana saya takut beliau akan menjadi mangsa politik.
Menteri Pendidikan telah memainkan peranan yang sangat penting. Banyak isu-isu pendidikan diatasi dengan baik dan saya mendoakan agar Menteri Pendidikan akan terus relevan dan berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Kenapa saya cakap begitu, kerana saya tahu jauh di sudut hati, Menteri Pendidikan adalah seorang peguam yang sangat baik dan saya yakin Insya Allah. Saya doakan supaya beliau diberi ruang untuk bersuara dengan baik untuk memperbetulkan balik Sekolah-Sekolah Kebangsaan, Sekolah-Sekolah Menengah Kebangsaan agar dinaik taraf dengan cepat membantu murid-murid untuk belajar dengan selesa di lebih 10 ribu sekolah-sekolah dan saya harap perkara ini diperbetulkan kembali dan kesilapan-kesilapan blok-blok parti politik yang ada perlu dihentikan serta merta.
Perkara ini, dilaksanakan oleh seorang Menteri Pengangkutan yang tiada kaitan dengan portfolionya dan diluluskan pula oleh Menteri Kewangan.
“Saya tak pastilah Perdana Menteri tahu atau tidak tapi kelulusan dana yang diberikan oleh Menteri Kewangan ini amat serius.”
“Justeru, saya berharap perkara ini dapat diatasi dan dapat diperbetulkan oleh seorang peguam yang memegang portfolio Menteri Pendidikan, Insya Allah,” ujarnya.