Calon Bekerja, Masalah Keluarga Punca Pelajar Tidak Hadir SPM
KUALA LUMPUR, 29 Jun 2024 – Calon bekerja dan masalah keluarga antara punca 10,160 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, selain itu faktor kemalangan dan sakit juga antara punca ketidakhadiran luar kawalan calon yang dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut data, seramai 8,676 daripada 10,160 orang calon yang tidak hadir menduduki SPM 2023, adalah calon sekolah KPM.
“Seramai 1,263 calon persendirian dan baki 221 adalah calon lain termasuk calon sekolah di bawah agensi kerajaan, Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Menengah Agama Rakyat dan sekolah swasta,” katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim yang menyatakan apakah tindakan KPM bagi mengatasi isu 10,160 calon SPM tahun 2023 tidak hadir bagi menduduki peperiksaan.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, bagi mengatasinya, KPM sentiasa berusaha meningkatkan kehadiran murid ke sekolah dan juga kehadiran murid ke SPM dengan beberapa intervensi.
Antaranya katanya, dengan mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 1 Tahun 2019: Panduan Pengurusan Rekod Sistem Kehadiran Murid Di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menegaskan rekod kehadiran murid, anak-anak ke sekolah.
“Selain itu, memberi peringatan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memantau kehadiran.”
“Serta mengoptimumkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah melalui program pembangunan diri murid dan mengetengahkan pempengaruh pendidikan atau ‘edufluencer’ berkepakaran dalam bidang bimbingan dan kaunseling bagi berkongsi ilmu dan juga pengalaman,” katanya.