Belanjawan 2025: Kerajaan Tumpu Usaha Tangani Kos Sara Hidup Rakyat
PUTRAJAYA, 06 Ogos 2024 – Kerajaan akan menumpukan kepada usaha menangani kos sara hidup rakyat melalui Belanjawan 2025, ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memetik laporan, beliau berkata, perkara tersebut menjadi kebimbangan rakyat walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha demi memperbetulkan semula ekonomi negara.
Justeru itu, kerajaan akan mencari punca-punca kepada peningkatan harga barang sekali gus menangani masalah kartel dan monopoli pihak tertentu yang menguasai pasaran barang keperluan asas termasuk menentukan kos input pertanian.
“Walaupun saya boleh sebut gula, minyak, tepung, minyak masak kita paling murah tapi bagi rakyat Malaysia masih merasa beban…dia (rakyat) tidak banding Thailand, Singapura, Indonesia.”
“Jadi sebab itu dalam Belanjawan ini kita juga harus tangani masalah kartel, monopoli, apa punca harga barang (naik), kadang-kadang dari segi baja, benih, semua ini harus kita tangani,” katanya.
Tambah beliau, Kementerian Kewangan selaku perancang utama Belanjawan Negara perlu memikirkan isu yang merentasi kementerian lain agar ianya bersifat menyeluruh dan menyentuh semua aspek permasalahan rakyat.