Bekalan Telur Ayam Cepat Rosak, Dikhuatiri Stok Lama
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
GEORGETOWN, 02 Disember 2022 – “Telur ayam yang banyak dijual di pasaran ketika ini dikatakan stok lama yang hampir rosak dan hanya mampu bertahan untuk digunakan antara dua hingga tiga hari sahaja. Jika ada stok baharu, itu memang nasiblah.”
Demikian kata Ahmad Shah, seorang pembekal telur ayam mengenai situasi bekalan telur yang ketika ini mula banyak di pasaran.
Membalas dakwaan bahawa peniaga ‘menyorok’ bekalan telur ayam, Ahmad Shah menjelaskan, “Setahu saya, telur ayam tidak disorok dan memang berlaku kekurangan sejak lebih dua bulan lalu sehingga ada pihak pembekal menghentikan pengedaran kepada peniaga termasuk pengusaha kek peniaga di pasar.”
Pihaknya sehingga ke hari ini masih berhadapan dengan masalah kekurangan stok telur ayam bagi kesemua gred A, B, C dan D. Malah sebahagian pembekal menghentikan operasi penghantaran disebabkan kekurangan serius di peringkat ladang.
Pembekal itu juga meluahkan kebimbangannya terhadap situasi ketika ini yang turut memberi kesan langsung apabila dia buat pertama kalinya terpaksa bercuti bagi menghantar stok kepada pelanggan.
Dalam pada itu, Ahmad Shah menekankan bahawa dakwaan telur ayam kembali banyak di pasaran bukanlah kerana pembentukan kerajaan baharu mahupun pelantikan Perdana Menteri baharu.
Sebelum ini, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, individu yang menyorok, menyimpan atau mensabotaj bekalan telur ayam bakal berhadapan denda RM1 juta.