Beberapa Kawasan Di Indonesia Mengalami Krisis Air Bersih Akibat Kemarau
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JAWA TIMUR, 27 Ogos 2022 – Beberapa kawasan di daerah Situbondo mengalami krisis air bersih akibat kemarau panjang di kawasan itu.
Menurut Ketua Bahagian Kecemasan dan Kesiapsiagaan BPBD Situbondo, Gatot Trikorawan, permintaan catuan air bersih berlaku lebih awal pada tahun ini berbanding tahun lepas.
“Jika tahun lalu, permintaan air bersih terjadi pada September, tahun ini pada akhir Ogos sudah mula ada permintaan catuan air bersih,” ujar Gatot.
Katanya, setakat ini ada tiga perkampungan sudah mengalami kekurangan air bersih iaitu Desa Jatisari Dusun Bendusa dan Polai di Arjasa, Desa Gunung Putri Dusun di Subo, dan Desa Plampangan Dusun Jambaran Timur dan Barat di Sumbermalang.
“Catuan air bersih ini hanya akan diberikan apabila ada permintaan daripada pihak desa, yang wilayahnya kekurangan air bersih.”
“Setiap penghantaran adalah 5 ribu liter air bersih. Rancangannya ialah akan ada dua kenderaan yang akan mengagihkan air bersih secara bergilir-gilir. Tetapi buat masa ini masih satu kenderaan kerana yang lain akan mula beroperasi pada awal bulan depan,” jelasnya.
Dalam pada masa yang sama, Gatot meminta penduduk Situbondo agar melaporkan dengan segera jika mengalami krisis air bersih.
Jelasnya, pegawai bertugas akan memaklumkan pihak BPBD Situbondo untuk catuan air bersih.