Antarabangsa

Banjir: Polis Trafik Diarah Bertugas Kawal Lalu Lintas

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KOTA BHARU, 29 Disember 2023 – Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun mengarahkan semua Ketua Polis Daerah menugaskan polis trafik di kawasan permulaan air banjir bagi memastikan keadaan lalu lintas di kawasan berkenaan selamat dan lancar.

Katanya, arahan itu dikeluarkan untuk memudahkan proses menyelamatkan mangsa banjir.

“Kita akui berlaku kesulitan pada awalnya kepada pasukan penyelamat di daerah Pasir Mas pada 25 Disember kerana penghuni di kawasan perumahan berhampiran Lubok Jong tergesa-gesa menyelamatkan kenderaan mereka.”

“Ada di antaranya parkir di laluan utama kerana paras air Sungai Golok naik mendadak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis .

Tambahnya, kesulitan turut berlaku di beberapa kawasan di daerah Pasir Mas terutama sekitar Lubok Stol dan Rantau Panjang sekali gus mengakibatkan aliran air deras menuju ke kawasan yang lebih rendah terutamanya di kawasan Perumahan Prima dan Bandar Baru Lubok Jong.

Bagaimanapun katanya, pasukan polis Daerah Pasir Mas mengambil langkah awal dengan mengatur gerak pegawai dan anggotanya mengawal lalu lintas bagi memastikan semua kenderaan mangsa diletakkan dengan teratur di bahu jalan.

“Arahan sudah dikeluarkan supaya semua pemilik kenderaan tidak mengganggu laluan keluar masuk kenderaan pasukan penyelamat terutama lori dan bot yang beroperasi di Rantau Panjang dan kawasan terjejas banjir,” katanya.

Menurut kenyataan itu juga, polis turut akan melaksanakan rondaan secara berterusan di sepanjang laluan banjir untuk memastikan tiada halangan terutamanya dari kenderaan-kenderaan persendirian sepanjang proses menyelamat dan memastikan keselamatan harta benda awam.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki memaklumkan polis turut memastikan orang ramai tidak mengambil kesempatan menjadikan situasi banjir ini sebagai pesta air dengan bermain air tanpa mengambil berat aspek keselamatan.

“Mereka tidak perlu datang ke tempat banjir seolah-olah berpesta kerana tindakan itu mengundang risiko kemalangan dan mengganggu kelancaran kenderaan petugas.”

“Sekiranya masih ada yang enggan mematuhi arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, tindakan tegas akan diambil kerana kerja-kerja menyelamat merupakan fokus utama polis Kelantan,” ujarnya.

Terdahulu media pada Rabu melaporkan sikap pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan yang tidak teratur dan mengambil ruang di atas jalan menyukarkan kenderaan anggota keselamatan bergerak dengan cepat dalam operasi menyelamat ketika banjir.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: