Banjir Gelombang Ketiga Lebih Dahsyat
KUALA TERENGGANU, 21 Disember 2023 – Banjir gelombang ketiga yang diramal melanda Terengganu pada Sabtu ini dijangka lebih teruk berbanding gelombang pertama dan kedua, baru-baru ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abd. Jalil berkata, keadaan banjir kali ini dijangka lebih besar ekoran tempias ribut tropika Jelawat yang kini membadai pulau besar di selatan Mindanao, Filipina.
“Saya harap semua penduduk di kawasan terlibat khususnya di Kemaman dan Dungun dapat membuat persediaan lebih awal dan sentiasa waspada dengan amaran dikeluarkan pihak berkuasa.”
“Pada masa sama, semua jabatan dan agensi berkaitan pengurusan bencana di Terengganu terus bersiap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan yang akan berlaku dalam banjir gelombang ketiga nanti,” katanya selepas hadir menerima sumbangan pakej prihatin Yayasan Petronas untuk 1,500 mangsa banjir di Terengganu, semalam.
Terdahulu, Tengku Farok berkata pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Meteorologi (METMalaysia) berikutan ramalan gelombang ketiga bakal melanda Terengganu bermula Sabtu ini dan kemuncaknya pada 24 dan 25 Disember.
Mengikut ramalan yang dikeluarkan, hujan lebat dan angin kencang ini membabitkan daerah Besut hingga Kemaman, disusuli kawasan pendalaman.