Banjir Dan Hujan Lebat Melanda 3 Bandar Australia
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
CANBERRA, 14 Oktober 2022 – Berikutan hujan lebat yang melanda tenggara Australia, sungai di seluruh negeri berpopulasi tinggi seperti New South Wales, Victoria dan Tasmania meningkat ke paras bahaya, manakala, kira-kira 250 keluarga di Forbes, barat Sydney dan New South Wales diarahkan berpindah susulan berlakunya bencana banjir besar selain tahap kawasan tadahan melebihi catatan purata yang ditetapkan.
Perkhidmatan Kecemasan Negeri yang mengeluarkan amaran banjir hari ini mengarahkan penduduk di 17 jalan termasuk presint pusat bandar supaya segera berpindah kerana keadaan di Sungai Lachlan dijangka mencecah ke paras puncak banjir besar pada bacaan 10.6 meter menjelang esok.
Menurut laporan media, perkembangan banjir di Victoria pula menyaksikan, anggota kecemasan menyelamatkan sekurang-kurangnya 23 mangsa yang sedang memandu dalam banjir di kawasan pedalaman selepas hujan semalam.
Oleh yang demikian, Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews menasihatkan orang ramai agar tidak memandu atau berjalan dalam banjir.
“Ia sangat berbahaya untuk anda dan ia juga amat berbahaya kepada individu yang datang menyelamatkan anda.”
Di samping itu, Railton, utara Tasmania pula melaporkan sebanyak 90 kediaman telah ditenggelami banjir selepas hujan hampir 12 jam.
Perkhidmatan Kecemasan Negeri mengeluarkan amaran kecemasan bagi bandar itu sambil menasihatkan penduduk kawasan itu supaya bersiap sedia untuk berpindah.