Bakal Musnahkan Hutan Lumut, Aktivis Mohon Projek Tidak Diberi Kelulusan
CAMERON HIGHLANDS, 13 Jun 2023 – Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) membantah sekeras-kerasnya pengubahan zoning hutan mossy (Hutan Montane) berhampiran Gunung Brinchang kepada pembangunan bercampur menerusi satu perjanjian yang dimeterai pada Mac 2021.
Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, pembangunan bercampur di tanah seluas 20.8 hektar itu berisiko menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat yang tinggi jika ia diganggu.
BACA JUGA: Gaji Rendah Faktor Pelajar Tidak Sambung Belajar
BACA JUGA: Pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat: Jalan Ditutup Sembilan Bulan Bermula Khamis Ini
BACA JUGA: Kerajaan Negeri Dibenarkan Mohon Operasi Pembenihan Awan
Katanya, kawasan tersebut mempunyai lereng yang daripada 35 darjah, ketinggian lebih dari 1,500 meter dari paras laut dan terletak dalam Mukim Tanah Rata, yang mana kejadian bencana alam adalah antara yang tertinggi di Cameron Highlands.
“Mengikut Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands (RTDCH 2030) (Penggantian), kawasan tersebut berada dalam KSAS (Kawasan Sensitif Alam Sekitar) Tahap 1, yang mana terdapat Hutan Ericaceous-Gunung atau Hutan Berlumut atau Mossy Forest dan tiada pembangunan, pertanian atau pembalakan dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan alam semula jadi berimpak rendah, penyelidikan dan pendidikan.”
“Kelulusan ini bercanggah dengan Seksyen 18 (1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang menyatakan bahawa ‘tiada seorang pun boleh menggunakan atau membangunkan mana-mana tanah atau bangunan melainkan menurut Rancangan Tempatan’, jadi mengapakah perjanjian usahasama ini diluluskan?” soalnya.
Menurut informasi yang diterima, pembangunan yang dirancang di kawasan itu merangkumi hartanah kediaman dan komersial termasuk pangsapuri berperkhidmatan, kedai runcit dan unit kediaman bertanah.
Tambahnya lagi, pihaknya bimbang pembangunan bercampur itu akan menyebabkan kerosakan Hutan Mossy, iaitu produk pelancongan yang terkemuka di tanah tinggi itu.
“Hutan berlumut atau mossy forest di Gunung Brinchang merupakan antara produk pelancongan yang terpenting di Daerah Cameron Highlands. Keadaan muka bumi berlumut yang menyelaputi tanah di hutan itu, menjadikannya unik kepada pendaki dan pencinta alam, di kawasan sini juga terdapat tumbuh-tumbuhan dan mamalia yang unik seperti Serow Black Panther dan Civet Cat.”
“Ketika kita mahu melihat Cameron Highlands menjadi destinasi eko-pelancongan yang istimewa, bagaimana boleh kita mengorbankan hutan mossy ini demi pembangunan,” keluhnya.
Bukan itu sahaja, pembangunan itu juga dibimbangi boleh merosakkan Sungai Burung, yang terletak di tepi kawasan tersebut.
Menurutnya, Sungai Burung adalah di antara sungai Kelas 1-II di Cameron Highlands dan pernah menjadi sungai yang membekalkan air untuk Loji Sungai Burung.
“Di Cameron Highlands, sungai-sungai yang bersih sudah amat kurang, perlukah satu lagi sungai yang mengalir sepanjang hutan mossy dimusnahkan demi pembangunan?” soalnya lagi.
Justeru, Reach memohon supaya Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLAN) Negeri Pahang tidak menyokong dan tidak meluluskan permohonan untuk pembangunan bercampur di kawasan tersebut demi menjaga kelestarian alam sekitar.