Ayam & Babi: Kenapa Perlu Layanan Berbeza? – PEMBELA
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
Perkara yang sedang kuat menekan rakyat ialah kenaikan harga barang terutamanya harga makanan.
Kita semua faham Kerajaan di dalam situasi sukar untuk memastikan semua perkara ini dapat ditangani segera dengan cara yang baik dan menguntungkan semua pihak.
Cuma apa yang dikesalkan ialah, dua layanan berbeza yang keluar dari cadangan mulut Menteri-Menteri Kabinet Kerajaan.
Apabila isu harga Ayam naik, Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli, mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan isu tersebut dengan permintaan vs penawaran dan lantas mencadangkan, antaranya, supaya pengguna tidak membeli ayam ketika harga ayam tinggi di pasaran.
Tetapi apabila isu harga babi dibangkitkan, kelihatan pula Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Salahuddin Ayub, memberi perhatian serius untuk menangani isu tersebut dengan segera dan akan membawa kepada perhatian Kabinet.
Kita semua faham, semua pihak terkesan dengan harga makanan yang meningkat. Tetapi kita semua tidak faham, kenapa dua situasi yang sama, mendapat dua bentuk layanan berbeza dari Menteri-Menteri Kabinet.
Jika ini pendekatan Kerajaan Perpaduan yang meletakkan prinsip keadilan sebagai salah satu tunjang utama yang akan diperjuangkan, bagaimana mungkin rakyat akan percaya bahawa mereka akan dilayan secara adil dalam setiap isu yang dihadapi mereka?
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam – PEMBELA menyokong semua usaha semua pihak untuk mengangkat beban rakyat dari tanggungan kos hidup yang meningkat, tetapi haruslah fokus dan layanan itu tidak dibeza-bezakan mengikut kepentingan-kepentingan tertentu.
Pautan asal: FB Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam – PEMBELA
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my