AS Sekat Visa Penceroboh Israel Yang Menyerang Rakyat Palestin
WASHINGTON, 06 Disember 2023 – Amerika Syarikat telah bertindak mengenakan sekatan visa terhadap penceroboh Israel yang menyerang rakyat Palestin di Tebing Barat.
Menurut kenyataan Setiausaha AS, Antony J. Blinken, Jabatan Negara sedang melaksanakan dasar sekatan visa baharu yang menyasarkan individu yang dipercayai menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Tebing Barat.
Ini termasuk melakukan keganasan atau menyekat akses orang awam terhadap perkhidmatan dan kemudahan asas. Turut dilaporkan, ahli keluarga terdekat individu berkenaan berkemungkinan tertakluk kepada sekatan yang dikenakan.
Memetik kenyataan, Blinken menegaskan, “Kami akan terus mencari akauntabiliti untuk semua tindakan keganasan di Tebing Barat tanpa mengira pelaku atau mangsa.”
Pihak AS juga terus berhubung dengan Pihak Berkuasa Palestin dan kepimpinan Zionis untuk menjelaskan bahawa mereka mesti mengambil langkah tambahan untuk melindungi orang awam daripada serangan ekstremis.
Ujarnya, “Kedua-dua Pihak Berkuasa Palestin dan Israel mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan kestabilan di Tebing Barat.”